Serang 1MDB bangkit kebencian terhadap kerajaan


(Utusan Malaysia) – Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua sengaja memperbesar-besarkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kempen politik kebencian yang dilancarkan beliau untuk memburuk-burukkan kerajaan serta memenuhi agenda politiknya.

Penganalisis politik, Raja Sara Petra berkata, pemimpin pakatan harapan yang diketuai DAP termasuk Tony sengaja berbuat demikian untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah dalaman mereka.

Menurut beliau, mereka menggunakan modus operandi yang sama dengan Tony iaitu mengeluarkan kenyataan tentang isu 1MDB yang seterusnya akan dilaporkan oleh portal propembangkang, Sarawak Report.

“Pembangkang cuba mengalihkan perhatian kita dengan bercakap tentang perkara yang tidak mempunyai kaitan dengan masa depan kita.

“Adakah Tony cuba memberitahu sekiranya 1MDB tidak wujud, Malaysia akan berada dalam keadaan yang baik?” katanya seperti dipetik laman blog Malaysia Today hari ini.

Raja Sara menambah, Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mungkin mempunyai tanggapan pilihan raya umum boleh dimenangi dengan hanya menyerang satu isu sahaja.

“Sebaliknya, pengundi lebih mengambil berat tentang bagaimana kerajaan akan menjaga serta menjamin masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, pakatan harapan yang diketuai DAP masih belum dapat menyatakan perancangan mereka sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

 



Comments
Loading...