Siasatan 1MDB: Gobind vs Johari, Siapa Yang Bodoh?


Rahimi Osman

Semalam, rakaman bertelingkahan Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Seri Johari Ghani dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh telah menjadi viral di Media Sosial. Seperti biasa, setiap kali ada insiden atau pertelingkahan di Parlimen, penyokong-penyokong pembangkang akan terus memaki-hamun untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa menteri-menteri BN tidak mempunyai kualiti.

“Inilah menteri bodoh”, “menteri tak layak jadi menteri”, “menteri pengecut jawab soalan”, “menteri tak ada adab” antara ayat-ayat yang biasa digunakan oleh cybertroopers pembangkang ini.

Sebelum kita menuduh sesiapa sebagai ‘bodoh’, kita perlu terlebih dahulu melihat dan memahami apa yang sebenarnya terjadi. Jika kita cuma tahu cakap orang ‘bodoh’ tetapi kita tidak sendiri tidak faham isu, maknanya kitalah yang paling ‘bodoh’.

Jika diteliti rakaman tersebut, pada mulanya DS Johari Ghani tidak menyebut bahawa Gobind Singh seorang yang bodoh. Beliau cuma sebut bahawa soalan yang diajukan Gobind itu adalah ‘satu soalan yang bodoh’.

Soalan yang diajukan Gobind memang benar-benar bodoh. Gobind bertanya kepada DS Johari samada beliau tahu adakah DS Najib salah seorang suspek dalam siasatan ke atas 1MDB dan apakah yang sedang terjadi pada siasatan tersebut pada ketika ini. Gobind merujuk kepada surat terbuka DS Johari kepada Tony Pua di mana Gobind berkata DS Johari telah menyatakan bahawa beliau mengetahui butiran siasatan terhadap 1MDB.

Surat terbuka Johari kepada Tony Pua: http://www.malaysiakini.com/news/376351

Gobind sebagai seorang peguam, seharusnya lebih memahami apa yang ditulis oleh DS Johari dalam surat beliau. Dalam surat tersebut, DS Johari menyebut bahawa beliau sedar pelbagai siasatan secara mendalam telah dijalankan oleh pelbagai agensi dari dalam dan luar negara. Dan saya rasa hampir semua orang yang mengikuti perkembangan isu 1MDB pun sedar akan hal ini.

Tidak ada sebarang ayat pun yang dinyatakan oleh DS Johari dalam surat tersebut yang membayangkan bahawa beliau mengetahui butiran siasatan yang telah dijalankan. Jadi disini terserlah siapa sebenarnya yang bodoh apabila gagal membaca dan memahami surat tersebut, kemudian terus terpekik terlolong di dalam dewan.

Soalan-soalan yang diajukan Gobind merupakan butiran siasatan agensi-agensi kerajaan seperti PDRM dan SPRM. Kementerian Kewangan tidak bertanggungjawab ke atas agensi-agensi ini apatah lagi keatas siasatan-siasatan yang mereka lakukan. Jadi, memang bodohlah jika Gobind yang telah menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal, tidak mengetahui kepada siapa harus beliau ajukan soalan mengenai siasatan yang dilakukan oleh agensi-agensi tersebut.

Disinilah kita letak garisan antara kebijaksanaan dan kebodohan. Jika DS Johari seorang yang bodoh dia boleh mengambil jalan mudah untuk mempertahan DS Najib dengan menjawab “Pekan bukan suspek”. Tetapi ini tidak berlaku, kerana ianya bukan kuasa ataupun tanggungjawab beliau untuk menjawab soalan tersebut.

Tambahan pula, bukankah Peguam Negara dan SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa DS Najib tidak bersalah dalam isu ini. Jadi kenapa perlu ditanya soalan yang satu dunia sudahpun mengetahui jawapannya. Rakyat tidak bayar elaun ahli parlimen Gobind untuk tanya soalan bodoh di Parlimen.

Ini bukan kali pertama Gobind menjerit dan berteriak seperti ini. Sidang parlimen tahun lepas juga terjadi pertelingkahan antara Gobind dan DS Johari mengenai isu 1MDB. Dan kita boleh jangkakan perkara ini akan berlarutan. Sebabnya mudah, pembangkang terpaksa membuat ‘political stunt’ untuk menarik kembali minat rakyat yang sudah muak dan jemu mengenai isu 1MDB yang dibawa oleh mereka.

Setakat hari ini, tidak ada sebarang bukti kukuh atau konkrit yang boleh menyokong segala tuduhan mereka. Siasatan PAC yang turut dianggotai oleh ahli-ahli parlimen pembangkang juga tidak menjumpai sebarang bukti kukuh untuk mengaitkan Perdana Menteri dengan 1MDB. Kes saman sivil DOJ Amerika Syarikat juga setakat ini tidak membuktikan bahawa terdapat sebarang salahguna kuasa oleh Perdana Menteri ke atas 1MDB. Bapa Gobind, mendiang Karpal Singh selalu mengingatkan bahawa “One is Innocent Until Proven Guilty” sepertimana yang tertakluk dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB.

Setakat ini yang kita ketahui dan fahami, masalah 1MDB sebenarnya berpunca daripada tadbir urus korporat yang lemah dan model perniagaan yang salah. Itu sahaja.

Kita tahu bahawa tarikh pilihanraya semakin hampir, impian dan cita-cita DAP untuk memerintah negara kelihatan semakin malap kerana mereka tidak mempunyai isu yang baru untuk dibawa. Pembangkang juga semakin berpecah, DAP sendiri dilanda pelbagai masalah dalaman dan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang juga sedang menghantui mereka. Jadi, mereka perlu berusaha keras dan melakukan apa sahaja ‘stunt’ untuk kitar semula isu-isu yang lapuk.

 



Comments
Loading...