Yang di-Pertuan Agung menghargai perpaduan ummah dalam isu Rohingya


DARI SUDUT LAIN

Semasa majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat bagi penggal ke-lima parlimen ke-13 baru-baru ini, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah menyampaikan Titah Diraja yang amat menarik untuk diberi perhatian. Baginda telah menyentuh isu Rohingya secara khusus. Antara petikan Titah Diraja itu:

“Beta menyokong inisiatif yang dilaksanakan agar sebarang unsur penghinaan terhadap agama Islam dan institusinya di negara ini ditangani dengan kebijaksanaan dan ketegasan. Beta berharap langkah-langkah yang dilaksanakan dalam menangani penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam melalui media massa dan laman web terus dipertingkatkan termasuklah meneruskan pemerkasaan undang-undang pentadbiran agama Islam. Pada masa yang sama, kesepakatan pemimpin-pemimpin Islam utama di negara ini adalah suatu yang amat baik dan dialu-alukan sebagaimana dalam menangani isu Rohingya di Myanmar”

Apa yang menarik, Titah Diraja itu menekankan soal kesepakatan pemimpin-pemimpin Islam ke arah mengukuhkan perpaduan ummah. Isu Rohingya telah menjadi titik pertemuan antara kumpulan-kumpulan Islam pelbagai latarbelakang dan aliran untuk duduk bersama dan mengenepikan perbezaan yang ada. Perkara ini disambut baik oleh YDP Agong sebagai Ketua Negara, dan mewakili semua sultan yang menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Agama bagi setiap negeri di bawah persekutuan.

Faktor utama yang membantu kesepakatan ini adalah Islam itu sendiri. Ia jelas dilihat apabila kebanyakan kempen dan slogan yang dihebahkan di Malaysia menggunakan sentimen persaudaraan Islam, bukan sekadar faktor kemanusiaan semata-mata. Sambutan yang diberikan oleh rakyat Malaysia sangat positif. Perkara yang sama juga boleh kita lihat ketika peristiwa penindasan di Palestin, Syria, termasuk konflik di nusantara ini sendiri seperti di Tragedi Ambon, penindasan di Mindanao dan penindasan di Selatan Thai.

Khusus kepada isu Rohingya, kita melihat antara yang terawal membawa isu ini secara konsisten adalah dari parti PAS. Sejak awal mereka telah menganjurkan demonstrasi, menghantar memorandum, perbincangan, ceramah dan bersemuka dengan pihak kerajaan supaya campurtangan. NGO-NGO lain kemudiannya turut serta memainkan peranan di lapangan masing-masing satu persatu termasuklah delegasi ke Rakhine sendiri dalam misi menyampaikan bantuan. Kerajaan pula mula membuka pintu menerima sebilangan pelarian Rohingya sedikit demi sedikit.

Gerakan berskala besar mula dilihat apabila PAS mencarik adat sebagai parti pembangkang, dengan mengadakan kerjasama secara terbuka dengan Kerajaan Malaysia dalam membantu menyelesaikan isu ini. Walaupun rakan-rakan pembangkang lain menghentam hebat PAS atas pendirian bersama kerajaan, PAS tetap meneruskan kerjasama dengan begitu berani sehingga membawa kedua pemimpin Kerajaan Malaysia dan PAS sepentas ketika Himpunan Solidariti Ummah dan selepas itu Himpunan Peduli Ummah.

Misi Food Flotilla For Myanmar (FFFM) menjadi kemuncak kepada kerjasama ini apabila kedua jentera kerajaan dan PAS bersama menjayakannya. Kerajaan melibatkan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Negeri, Tentera Laut Diraja Malaysia, Kedutaan Malaysia di Myanmar dan Bangladesh dan Kelab Putera 1Malaysia. PAS pula selain dari memimpin unit-unit jawatankuasa misi dan mengatur program di atas kapal, mereka turut menghantar pemimpin-pemimpin utamanya turut serta seperti Timbalan Ketua Pemuda, AJK PAS Pusat dan wakil rakyatnya. NGO paling terkehadapan dalam misi ini adalah dari Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), dimana pengerusinya Cikgu Azmi Abdul Hamid menjadi Pengarah Pelaksana kepada misi bersejarah ini.

Disebut oleh Perdana Menteri Malaysia ketika upacara perlepasan FFFM bahawa dalam 200 peserta yang terlibat, separuhnya adalah Umno dan separuh lagi PAS, menggambarkan lagi obsesi pemimpin tertinggi kerajaan itu kepada perpaduan ummah. Hasil kerjasama jitu dari semua pihak yang terlibat, FFFM telah tercatat dalam Malaysia Guinness Book of Record sebagai misi bantuan antarabangsa terbesar dalam sejarah negara.

Kerjasama antara kerajaan, PAS dan NGO-NGO dalam isu Rohingya masih berterusan sehingga kini. Terbaru akan diadakan program International Conference on Rohingya (ICR) di Putrajaya. Mengikut maklumat yang diperolehi, program ini dikendalikan oleh Yayasan Amal Malaysia, sebuah NGO di bawah PAS dengan kerjasama dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa NGO lain dalam dan luar negara. Ia akan diadakan pada 14 hingga 16 haribulan ini. Turut terlibat menyampaikan ucapan adalah PM Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Semua ini memberi signal yang jelas bahawa rakyat Malaysia masih terbuka untuk membina perpaduan. Asalkan kita tahu apa kunci kepada kesatuan ini. Dari apa yang berlaku sekarang, dapatlah disimpulkan bahawa perpaduan ini perlu dibina atas nama Islam. Sekiranya semua pihak meletakkan Islam sebagai matlamat perjuangan, cita-cita untuk melihat ummah ini bersatu adalah sangat cerah.

 



Comments
Loading...