Mengapa kerajaan mahu bawa RUU355?
DARI SUDUT LAIN
Dalam perkembangan terbaru mengenai RUU Pindaan Akta 355 (RUU355), kerajaan mengatakan akan membawa sendiri RUU ini ke parlimen. Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Zahid Hamidi mengesahkan perkara tersebut ketika merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan Umno di Terengganu pada 17 Mac yang lalu.
Baca:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kerajaan-akan-bentang-sendiri-ruu-355-1.458554
Mungkin perkara ini agak memeranjatkan sebilangan pihak. Apatah lagi apabila ia kembali dilaporkan agensi-agensi berita tempatan. Walhal, sebenarnya pada tahun lepas lagi perkara ini sudah dinyatakan oleh kerajaan. Pada November lepas, kerajaan telah memanggil semua ahli parlimen beragama Islam ke satu taklimat bagi menjelaskan tentang RUU355. Dalam perjumpaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Sri Jamil Khir Baharom telah menyatakan bahawa hasrat kerajaan untuk mengambil alih usul tersebut.
Baca:
https://www.bnbbc.my/kerajaan-akan-bawa-ruu-355-selepas-diperhalusi/
Merujuk kepada peraturan majlis mesyuarat dewan rakyat pindaan 2013, segala jenis RUU mestilah melalui ahli parlimen kerajaan. Ini termasuklah usul persendirian yang dibawa oleh pembangkang. Perkara 49(4) jelas menyebut tentang perkara ini:
Dengan tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 51, Rang Undang-undang itu hendaklah dicap dan dihantar kepada ahli-ahli dan dengan tidak dibahaskan, terserahlah Rang Undang-undang ini kepada Menteri yang berkenaan dengan perkara-perkara atau tugas-tugas yang terkandung dalam Rang Undang-undang itu atau, jika tiada Menteri yang berkenaan, maka terserahlah Rang Undangundang itu kepada Menteri atau ahli yang dilantik oleh Tuan Yang di-Pertua, tidak boleh dijalankan apa-apa langkah atas Rang Undang-undang ini sehingga Majlis menerima penyata daripada ahli atau menteri itu.
Baca:
http://www.parlimen.gov.my/images/webuser/PM_DR_BM.pdf
Dalam kes RUU355, sekiranya usul persendirian daripada ahli parlimen Marang berjaya dibentang kali yang pertama, maka kerajaan melalui menteri atau ahli parlimen yang dilantik adalah bertanggungjawab untuk membawa RUU355 untuk kali yang seterusnya sehinggalah proses itu selesai. Maka ia akan berubah statusnya menjadi usul kerajaan. Dalam erti kata yang lain, ahli parlimen bukan kerajaan sudah tidak mempunyai apa-apa tanggungjawab berkenaan usul tersebut lagi.
Namun begitu, dari apa yang difahami menerusi kenyataan Dato Seri Zahid Hamidi di atas, seolah-olah kerajaan mahu mengambil alih terus pembentangan RUU355 untuk sesi ini walaupun ia belum melepasi tahap bacaan kali pertama. Jika ia benar, maka proses pindaan akta ini sepatutnya tidak menjadi polemik berpanjangan, malah menunjukkan tiada mana-mana pihak harus mempolitikkan isu ini.
Seperkara lagi yang menarik untuk diperhatikan. Sekiranya RUU355 ini benar-benar dibawa oleh kerajaan, maka seluruh ahli parlimen yang mewakili parti komponen BN adalah terikat dengan perjanjian dan disiplin gabungan tersebut. Setiap ahli parlimen wajib untuk menyokong semua usul yang dibawa oleh kerajaan sebagaimana yang diputuskan oleh jawatankuasa WHIP. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan disiplin. Perkara ini pernah dihadapi oleh PAS sewaktu berada di dalam Barisan Nasional, yang akhirnya mengakibatkan parti itu ditendang keluar pada tahun 1977.
Baca:
http://pemudaumnojasin.blogspot.my/2010/07/mesti-baca-sejarah-1977-sebab-sebenar_26.html