PAS jangan anggap partinya paling sempurna – penganalisis


(Antara Pos) – PAS tidak boleh sepanjang masa menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) dan menganggap partinya paling sempurna.

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata sepertimana PAS menganggap BN dan PH sebagai liabiliti, parti itu juga harus akur ia juga ada kelemahan tersendiri.

“PAS tidak harus melihat bahawa BN atau Pakatan yang mempunyai masalah. PAS sendiri harus melihat yang mereka juga satu masalah.

“Jika tanya PAS tentulah dia akan kata kedua-duanya (BN dan PH) yang mempunyai masalah. Kalau tanya BN atau Pakatan (Harapan) mungkin mereka merasakan PAS sendiri masalah pada mereka,” ujarnya ketika dihubungi  Antarapos.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini melabel BN dan PH sebagai ‘biawak hidup’, justeru partinya tidak mahu menjalinkan kerjasama politik dengan kedua-dua parti tersebut.

Ujar Hadi, PAS enggan terheret sama dengan masalah yang dibebani BN dan PH dalam keadaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh diadakan pada bila-bila daripada sekarang.

Mustafa menambah, PAS bebas untuk memilih menjalinkan kerjasama politik sama ada BN atau pembangkang, sementelah mempunyai pengalaman dengan dua parti itu sebelum ini.

“PAS mungkin pernah menyertai BN sebelum ini dan PAS juga pernah menyertai PKR. Jadi PAS ada dua pengalaman. Sama ada bersama kerajaan (BN) atau dengan pakatan pembangkang.

“Jadi PAS ada pengalaman yang tertentu yang menyebabkan dia membuat kenyataan yang sedemikian rupa,” ujarnya.

PAS sebelum ini bertegas tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan politik bersama seterunya, DAP dan Amanah.

Pendirian itu membuka ruang debat banyak pihak mengenai hubungan PAS dengan PKR, yang bergabung dengan DAP dan Amanah dalam PH.

Malah suara PAS peringkat kawasan kini semakin lantang mahukan tahaluf siyasi dengan PKR ditamatkan April ini.

Sementara, PAS juga mengabaikan sebanyak dua kali lamaran kerjasama politik daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.



Comments
Loading...