Sikap pekakkan telinga DAP timbulkan tanda tanya
(Utusan Online) – Sikap memekakkan telinga pemimpin-pemimpin DAP khususnya Lim Kit Siang, Anthony Loke dan Vincent Wu berhubung dakwaan wujudnya penipuan dalam pemilihan parti itu pada 2012 seolah-olah memberi gambaran perbuatan terkutuk itu benar-benar berlaku.
Penganalisis politik, Raja Sara Raja Petra berkata, lebih menghairankan apabila Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw bertindak mendiamkan diri berhubung perkara itu sehingga menimbulkan persoalan adakah beliau mengiyakan dakwaan bahawa penipuan tersebut bertujuan menyingkirkannya.
“Sekiranya dakwaan seumpamanya dibuat terhadap pihak lain, ketika ini pemimpin-pemimpin DAP sudah tentu terlompat sana-sini.
“Adakah DAP fikir mereka boleh mengabaikan dakwaan itu dan ia akan hilang begitu sahaja?” katanya seperti dipetik laman blog Malaysia Today hari ini.
Kebelakangan ini, kecoh di Internet mengenai penipuan DAP dalam pemilihan parti itu yang berlangsung pada 15 Disember 2012.