Kit Siang patut jadi pengerusi Pakatan Harapan


(Berita Harian) – Jawatan Pengerusi Pakatan Harapan sepatutnya disandang oleh Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan bukannya orang lain.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia disebabkan DAP adalah parti dominan dalam Pakatan Harapan.

Sehubungan itu, katanya, Kit Siang diingatkan tidak cuba memperlekeh dan memperdaya minda orang Melayu terhadap hakikat sebenar iaitu Pakatan Harapan dikuasai dan dimiliki oleh DAP.

“Kita semua tahu bahawa DAP adalah sebuah parti yang didominasi oleh kaum Cina dan Kit Siang tidak pernah memberi ruang kepada kaum Melayu.

“Oleh itu, jika Kit Siang melantik seorang Melayu menyandang jawatan pengerusi Pakatan Harapan maka ternyata ini adalah satu muslihat memperdaya pengundi Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kit Siang perlu ambil jawatan pengerusi Pakatan Harapan jika beliau mahu membuktikan pakatan berkenaan sebenarnya bukan Pakatan Ali Baba.

“Orang Melayu perlu sedar bahawa Kit Siang mahukan undi orang Melayu sebagai batu loncatan untuk menguasai Putrajaya.

“Selepas itu, Kit Siang akan menggunakan kuasa Putrajaya untuk memerintah sehingga anak cucu. Seorang diktator tetap akan menjadi seorang diktator,” katanya.

 



Comments
Loading...