Apa perlu Ahli Parlimen bukan Islam lakukan pada sesI pengundian RUU355


DARI SUDUT LAIN

Daripada jumlah 222 kerusi parlimen yang ada di Malaysia sekarang, BN memiliki 131 orang ahli parlimen manakala keseluruhan pembangkang adalah 90 orang dan seorang lagi berstatus Bebas. Dari jumlah ahli parlimen BN, 95 daripadanya adalah muslim manakala 36 lagi bukan Islam. Di sebelah pembangkang termasuk bebas, bilangan muslim hanya 41 orang berbanding bukan Islam seramai 50 orang. Bilangan ahli parlimen muslim itu pula, jika dipecahkan kepada blok parti, 26 daripadanya adalah dari Pakatan Harapan, manakala baki seramai 14 orang daripada PAS. Maka keseluruhan ahli parlimen muslim di parlimen adalah 136 orang dan bukan muslim seramai 86 orang.

Faktor bilangan ahli parlimen muslim dan bukan muslim perlu dinilai dengan teliti bagi mengukur sejauh mana potensi RUU355 boleh diluluskan. Secara kasar, ahli parlimen muslim masih membentuk majoriti selesa di parlimen. Akan tetapi, sikap dan pendirian berbeza-beza ahli parlimen beragama Islam terhadap RUU355 menyukarkan kita untuk menentukan apakah usul persendirian dari Presiden PAS itu akan berjaya ataupun tidak.

Undi di parlimen akan dikira mengikut jumlah ahli parlimen yang mengundi pada sesi pengundian tersebut dijalankan. Ini bermakna sekiranya ada ahli parlimen yang tidak hadir, atau hadir tetapi tidak megundi/berkecuali, maka mereka tidak akan dikira sebagai jumlah keseluruhan.

Fasal 46(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan bahawa “Sesuatu masalah itu adalah selesai dikemuka bagi diputuskan apabila Pengerusi telah mengambil undi-undi yang bersetuju dan yang tidak bersetuju.”

Atas perkiraan ini, menjadi kemestian bagi wakil rakyat muslim untuk hadir dan terlibat dalam pengundian bagi memenuhi kuota 136 orang muslim di parlimen. Sebarang kegagalan untuk hadir, ataupun hadir tetapi berkecuali akan mengurangkan majoriti suara Islam. Sekiranya bukan Islam bersepakat untuk membangkang usul tersebut, maka mereka berpotensi untuk menggagalkan RUU355 dengan jumlah keseluruhan yang mengundi.

Kepada ahli parlimen bukan Islam pula, mereka sekurang-kurangnya perlu mengambil sikap berkecuali bagi menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan. RUU355 secara jelas hanya urusan orang Islam dan langsung tidak menjejaskan kebebasan agama lain untuk diamalkan sebagaimana yang dijamin perlembagaan. Justeru mengambil sikap untuk menolak usul RUU355 ini adalah satu bentuk campur tangan terhadap urusan agama Islam sekaligus bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

 



Comments
Loading...