Ezam dan Parti Bebas Rasuah


Rahimi Osman

Sejak beberapa tahun lalu, kelihatan seolah-oleh menjadi trend di kalangan pemain-pemain politik di Malaysia untuk menubuhkan parti sendiri. Selepas ahli pecahan PAS menubuhkan PAN, Mahathir dan Muhyiddin menubuhkan PPBM, Shafie Afdal menubuhkan Warisan, sekarang kita saksikan satu lagi parti baru ditubuhkan dan memeriahkan lagi arena politik tanahair.

Parti ini agak unik kerana agenda penubuhnya tertumpu kepada satu perkara sahaja iaitu rasuah dan penyelewengan. Atas sebab itulah ianya dinamakan Parti Bebas Rasuah. Namun keunikan parti ini bukan hanya terletak pada agenda penubuhannya sahaja, malah Presidennya juga merupakan ahli politik yang mempunyai ‘gelaran’ terpanjang di Malaysia.

Jika hendak disebut Presiden parti ini, bunyinya haruslah begini: “Bekas Setiausaha Politik Anwar, Bekas Ketua Pemuda PKR, Bekas Senator UMNO, Bekas Pengarah Komunikasi MOF dan Bekas Ahli Parti Peribumi Bersatu yang Kini Presiden Parti Bebas Rasuah, Datuk Ezam Md Noor”.

‘Gelaran’ panjang di atas belum termasuk gelaran sebagai Bekas Pengerusi/Presiden NGO-NGO sementara yang beliau kepalai seperti GERAK, NUSANTARA dan HISBAH. Saya sebut NGO sementara kerana NGO-NGO ini tidak pernah konsisten dan cuma wujud secara aktif kurang daripada 2-3 tahun sahaja.

Panglima Perang? 

Kebelakangan ini ramai yang bertanyakan saya soal Ezam dan ada juga yang menganggap bahawa saya telah mengikut Ezam. Sebenarnya saya tidak tahu perkembangan Ezam kerana sudah lama tak bertemu dan saya juga tidak berminat untuk mengikuti Ezam. Saya tidak mahu melompat parti. Walaupun saya pernah bekerja dengan Anwar, saya tidak menjadi ahli PKR. UMNO merupakan parti politik pertama saya dan saya harap ianya akan menjadi parti politik saya hingga akhir hayat.

Berbalik kepad Ezam, ramai yang menganggapnya sebagai seorang panglima perang yang cukup hebat. Tapi bagi siapa yang mengenal beliau dengan rapat, kelebihan Ezam cuma terletak pada kebolehan berpidato ala-ala Anwar Ibrahim. Jika disebut soal pelaksanaan tugas, pengurusan organisasi atau perancangan strategi, Ezam tidak mampu meraih kredit pun dalam bidang ini.

Saya bukanlah budak Ezam ataupun pengikutnya, sewaktu saya di pejabat Anwar, saya lebih rapat dengan Azmin berbanding dengan Ezam. Saya masih ingat pada tahun 2007 selepas Ezam meletakkan jawatan sebagai Ketua AMK, saya ada berjumpa dengan beliau di pejabat GERAK. Ezam dengan penuh kesungguhan meyakinkan saya bahawa PKR dan Anwar sudah berada di penghujung nyawa dan tidak ada guna lagi untuk terus berjuang. Pada ketika itu, PKR cuma mempunyai satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh. Namun saya langsung tidak bersetuju dengan Ezam kerana pada saya perjuangan perlu diteruskan waima apa keadaaan sekalipun.

Tidak siapa yang menjangkakan kententuan Allah, Ezam yang meninggalkan saf akhirnya tercicir dari barisan yang berjaya mencipta rekod merampas Selangor dan beberapa negeri lain pada PRU 2008. Ezam melihat rakan-rakan atau orang yang dahulunya dikenali sebagai ‘budak Ezam’ kini menjadi Ahli Parlimen, ADUN dan Exco Kerajaan Negeri.

Beliau kemudian membuat keputusan untuk kembali menyertai UMNO dan menyerahkan borang kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tidak seperti yang selalu didendang, di sini kita lihat Ezam sebenarnya bukanlah seorang panglima yang menyumbang kepada kejayaan Pakatan pada tahun 2008 kerana beliau telah lebih awal menyerah kalah.  Berbeza dengan saya dan beberapa sahabat yang lain, kami meninggalkan Anwar ketika PKR berada di zaman kegemilangannya.

Semasa dalam UMNO pula, sumbangan Ezam tidaklah sehebat mana. Ezam cuma berjaya menjadi broker bagi meyakinkan beberapa individu lain untuk meninggalkan Anwar. Itu sahaja. Sebagai seorang Senator kita tidak lihat Ezam memberikan sebarangan sumbangan yang besar. Sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja pula, Ezam juga tidak mempunyai rekod tugasan yang cemerlang dan beliau telah meletakkan jawatan selepas beberapa bulan diberikan laluan menang tanpa bertanding.

Rasuah dan Penyelewengan

Apabila kita berbicara soal rasuah, ianya tidak hanya berkisar sekitar seorang pemegang jawatan menerima imbuhan daripada seseorang lain yang mempunyai kepentingan sahaja. Segala bentuk penipuan atau salah guna dana juga merupakan satu bentuk rasuah dan penyelewengan. Ponteng kerja dan makan gaji buta juga merupakan soal rasuah dan penyelewengan!

Dalam ramai-ramai bekas PKR atau orang Anwar, Ezam merupakan individu yang paling beruntung sekali. Di atas kebaikan hati DS Najib, Ezam diberikan jawatan Senator selama hampir 2 penggal dan kemudian diberi pula jawatan Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan dengan pangkat Jusa. Ezam menerima elaun belasan ribu setiap bulan di atas jawatan-jawatan yang disandang ini.

Oleh kerana jawatan yang dipegang ini adalah jawatan kerajaan, maka elaun yang diterima oleh Ezam merupakan elaun yang dibayar dari hasil wang negara. Sudah tentu, setiap sen itu dibayar sebagai balasan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Jadi kita ingin bertanya kepada Ezam selama hampir dua tahun beliau menjadi Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan, apa kerja dan tugasan yang telah beliau laksanakan setimpal dengan elaun yang diterima?

Jika tidak ada sumbangan atau hasil, maka ini juga dikira sebagai satu bentuk penyelewengan kerana beliau telah makan gaji buta! Sewaktu isu GST sedang hangat, kita tengok Ahmad Maslan yang bertungkus lumus menjawab sehingga beliau menerima kritikan hebat daripada orang ramai. Mana suara Pengarah Komunikasi MOF ketika itu?

Enam Kotak Rasuah

Soal dimana enam kotak dokumen rasuah ini telah banyak kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak. Namun jawapan yang diberikan Ezam belum cukup memuaskan. Manakan tidak, jawapan yang diberi sentiasa berubah mengikut masa dan keadaaan. Berikut adalah jawapan yang ada dalam ingatan saya:

1. Semasa dalam PKR, 6 kotak rasuah ada pada tangan beliau dan tunggu masa akan didedahkan.

2. Dalam satu perjumpaan tertutup bersama rakan-rakan, Ezam menyatakan Anwar menyuruhnya mereka-reka cerita mengenai 6 kotak tersebut.

3. Di sebuah ceramah di Permatang Pauh, Ezam kata kotak tersebut ada pada Anwar

4. Dalam sebuah wawancara pada tahun lepas, Ezam kata kotak tersebut masih ada.

Jadi mana satu jawapan yang boleh diterimapakai? Ezam kini Presiden Parti Bebas Rasuah, ini bukan soal kecil. Presiden Parti Bebas Rasuah harus jelaskan perkara ini dengan sejelas-jelasnya.

Walau apapun alasan yang diberikan, kita semua tahu kalau benar 6 kotak itu wujud maka ianya adalah kes-kes rasuah kroni dan rakan-rakan Tun Mahathir. Sebagai seorang yang berintegriti, Ezam tidak boleh bersama dengan Tun Mahathir kerana beliau sendiri tahu terdapat banyak kes rasuah melibatkan Mahathir dan kroni-kroninya. Dan tidak ada masa yang lebih sesuai untuk dedahkan 6 kotak tersebut disaat Mahathir sudah tidak bersama dengan kerajaan pada hari ini.

Menyertai Pakatan Harapan?

Jika Ezam dan partinya benar-benar memperjuangkan rasuah, mereka tidak akan memohon untuk masuk ke dalam Pakatan Harapan. Ini kerana Pakatan juga dilanda pelbagai masalah dan tuduhan rasuah. Pemimpin Pakatan seperti Mahathir, Muhyiddin, Anwar, Azmin dan Lim Guan Eng kesemuanya diberati dengan pelbagai tuduhan dan skandal rasuah.

Parti yang benar-benar memperjuangkan penentangan rasuah tidak akan duduk dengan mereka yang terpalit dengan sebarang tuduhan skandal rasuah. Tidak kisah samada kesnya kecil atau besar. Parti tersebut seharusnya menjauhkan diri dan menekan mereka yang terlibat untuk membersihkan diri dari semua tuduhan. Kemudian barulah membuat keputusan menyertai Pakatan.

Mampukan Ezam mengulangi desakannya pada tahun lepas supaya Lim Guan Eng berundur daripada jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana kes rasuah yang melibatkan pemilikan sebuah rumah banglo Guan Eng? Sudah tentu tidak! Kerana Lim Guan Eng adalah pemimpin Pakatan dan parti Ezam bakal menjadi parti komponen dalam Pakatan.

Jadi, Parti Bebas Rasuah ini bukanlah sebuah parti yang benar-benar membawa agenda sesuai dengan namanya. Ianya tidak lain dan tidak bukan hanya sebuah parti politik yang penuh dengan retorik. Pada pandangan saya, langkah menubuhkan parti sendiri ini tidak lebih hanya untuk memberikan Ezam kuasa runding yang lebih besar bagi membolehkan beliau bertanding pada pilihanraya akan datang.

Kalau benar Ezam mahu bertanding di Pekan, maka saya sebagai orang Pekan mengalukan-alukan kedatangan beliau ke Pekan. Cuma saya nak beritahu, orang Pekan tidak memerlukan pemimpin yang hanya pandai bercakap dan beretorik. Mereka memerlukan pemimpin yang sentiasa isitqamah dalam membawa pembangunan dan memperbaiki taraf hidup mereka. Mereka tidak perlu kepada orang yang suka buat kerja ‘sekerat jalan’.

Cabaran Untuk Ezam

Saya berpendapat sebelum Ezam memulakan langkah pertama partinya, Ezam haruslah membersihkan dirinya daripada segala isu dan persoalan.

Selain dari apa yang saya bangkitkan di atas, saya juga ingin bertanya kepada Ezam selama beliau berada dalam UMNO dan Kerajaan, berapa banyak dana yang diterima oleh Ezam selain dari gaji dan elaun? Melalui maklumat yang saya terima, Ezam telah menerima pelbagai jenis dana yang disalurkan melalui NGO beliau seperti Hisbah dan Yayasan Nusantara. Adakah ini benar?

Dan jika benar dana tersebut diterima, Ezam perlu menjelaskan kemana ianya dibelanja dan apakah tujuan perbelanjaan tersebut. Setiap satu sen harus dikira dan dijelaskan. Ingat, kamu sekarang adalah Presiden Parti Bebas Rasuah, maka ini adalah tanggungjawab kamu untuk meyakinkan rakyat bahawa kamu tidak pernah menyeleweng satu sen pun dana awam!

Selain dana, adalah wajar untuk Ezam juga mengistiharkan hartanya dan juga harta-harta yang diletakkan atas nama keluarga terdekat beliau. Serta perjelaskan dari mana datangnya sumber untuk memiliki harta-harta ini. Saya tidak menuduh Ezam memiliki kekayaan luar biasa ataupun apa jua harta dari cara yang salah. Cuma atas dasar prinsip, Ezam yang selalu melaungkan perjuangan anti-rasuah haruslah membuktikan beliau terlebih dahulu bersih daripada apa yang beliau bencikan.

Saya harap tidak ada alasan atau dalil untuk beliau enggan menjawab dan menerangkan segala apa yang saya sebutkan. Janganlah dipertikai jika mana-mana ahli politik lain tidak mengisitihar harta atau dana, mereka bukan Presiden sebuah parti politik yang diberi nama “Parti Bebas Rasuah”.

Akhir kata kepada Ezam, “Practice Yourself What U Preach” – Plautus

 



Comments
Loading...