PAS: Kami tak perlu jawab Rafizi, dia siapa?


PAS berkata dakwaan aliran masuk wang hanya untuk mengalihkan perhatian daripada masalah dalaman PKR.

(FMT) – PAS hari ini enggan menjawab dakwaan Rafizi Ramli semalam yang individu rapat dengan PAS pernah menerima dana daripada 1MDB.

“Bukan tanggungjawab kami untuk menjawab kepadanya. Dia siapa?” soal Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Sebaliknya, Takiyuddin menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan lanjut.

Rafizi yang juga naib presiden PKR semalam mendakwa siasatan SPRM mendapati aliran dana daripada akaun berkaitan 1MDB sampai kepada “tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS”.

Sebelum ini, portal Sarawak Report mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada Datuk Seri Najib Razak.

Susulan itu, Takiyuddin menghantar surat tuntutan kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, Disember lalu atau berdepan saman. PAS sehingga kini bagaimanapun belum memfailkan saman.

Terserah kepada SPRM

Takiyuddin semalam mendesak Rafizi menyerahkan bukti kepada SPRM. Rafizi bagaimanapun berkata ia tidak menjadi persoalan kerana beliau bersandarkan kepada siasatan SPRM sendiri sebelum ini.

“Kalau betul sudah dalam tindakan SPRM, maka terserah kepada SPRM. Jika SPRM kata ada kes, panggil kita untuk beri keterangan jika perlu. Biar PAS selesaikan kepada SPRM, kita tidak perlukan khidmat beliau,” Takiyuddin memberitahu FMT.

Beliau sekali lagi menyatakan tidak tahu akan perkara tersebut.

“Ramai individu yang rapat dengan PAS. Malah kalau orang PAS sendiri pun yang didapati terlibat, sila ambil tindakan,” kata ahli Parlimen Kota Bharu.

Beliau menyifatkan Rafizi cuba bermain politik untuk mengalihkan perhatian terhadap masalah dalaman PKR.

“Kita tahu PKR ada masalah dalaman. Selesaikan masalah itu, dan jangan cuba alihkan perhatian dengan melibatkan orang lain,” katanya.

 



Comments
Loading...