Gelombang RUU 355
(Harakah) – TIDAK diduga betapa RUU 355 mencetuskan gelombang besar terhadap perkara yang tersirat di dalam lubuk hati semua kumpulan terhadap Islam. Walaupun ia bukan hukum hudud yang selalu dijadikan senjata paling tajam mengikut tanggapan semua kumpulan anti Islam, namun tetap dikaitkan juga. Tujuannya untuk menikam Islam daripada segenap penjuru dengan hukum Allah tersebut, walaupun mereka jahil berkenaannya. Matlamatnya semata-mata mencacatkan wajah Islam yang murni dan mulia.
Walaupun RUU 355 melalui proses demokrasi paling lembut perjalanannya melalui parlimen dengan kebijaksanaan YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia menangguh lagi untuk memanjangkan perbahasannya bagi memberi peluang lebih panjang kepada semua pihak. PAS dan semua yang menyokongnya daripada Umno dan lain-lain menerima dengan terbuka, namun kepada penentangnya laksana batu besar yang dicampak ke dalam lubuk tenang yang tidak disangka adanya buaya, bukan sahaja ikannya terkejut gelombangnya. Tiba-tiba semua menimbulkan diri, termasuk ular dan buaya paling besar menerkam dengan rakus menempik segala hujah, termasuk mencetuskan perkara yang tersasul tidak ada kena mengena dengan tajuk RUU 355, apabila menimbulkan Peraturan Mesyuarat yang tidak menyentuhnya sedikit pun, niatnya untuk memamah masa supaya tidak ada ruang langsung bagi RUU 355.
RUU 355 adalah perkara Islam yang paling mudah difahami oleh setiap penganut Islam yang beriman dan budiman walaupun sebesar zarah paling halus dan paling lemah pegangan agamanya, tetapi rasa kasihkan Islam masih tersemat di dalam dirinya. Maka, RUU 355 berjaya sehingga menyatukan semua penganut Islam termasuk paling jahil agamanya, namun masih wujud jati diri Islamnya tanpa mengira aliran politik dan pendidikan, kecuali segelintir yang terpinggir laksana melukut di tepi gantang.
Adapun kalangan bukan Islam yang bersaudara dalam masyarakat majmuk tidak menghalang kerana punya sifat persaudaraan kemanusiaannya dalam satu negara yang wajib dihormati, kerana bahasa penjelasannya pula sangat mudah difahami perlunya bagi umat Islam sahaja, tanpa gangguan terhadap bukan Islam.
Disebabkan setiap perjalanan menuju Islam itu pasti diganggu oleh syaitan yang sentiasa mengekori di sepanjang jalan dan masa, termasuk perkara paling asas dan mudah seperti mengambil wuduk dan sembahyang pun ada was-was syaitan. Maka, begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia. Apatah lagi perkara Mahkamah Syariah yang hendak dimuliakan itu bergelumang dengan masyarakat umum yang masih dibejati karat semangat penjajah, menjadikan RUU 355 diganggu begitu rupa.
Allah mendedahkan betapa kalangan bukan Islam yang bermusuh terhadapnya dan segelintir serpihan kalangan Islam yang ada sifat munafiq lapuk bersamanya, berpura-pura Islam mencari kesempatan semata-mata apabila mereka tidak dapat menyembunyikan rasa hati sanubari mereka kebenciannya terhadap Islam, walaupun penganut Islam menunjukkan semangat persaudaraan bermasyarakat majmuk. Firman Allah memberi peringatan kepada yang beriman:
﴿هَٰٓأَنتُمۡ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ١١٩﴾ [آل عمران: 119]
“Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan) mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada kitab (Al-Quran) semuanya. Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: Kami beriman, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada)”. (Surah Ali-Imran: 119)
Kini umat Islam dapat meletakkan markah atau kadar suhu kepanasan kemarahan mereka yang ingin bermusuh terhadap Islam dan membezakan mereka yang mahu bersahabat bersama umat Islam dalam satu masyarakat madani.
Namun, umat Islam tetap dilarang memaksa pihak lain dalam urusan keagamaan dan kemasyarakatnya serta diwajibkan berlaku adil terhadap semua dengan nas daripada Al-Quran:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾ [المائدة: 8]
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan).” (Surah al-Maidah: 8)
Di Malaysia, kita telah menerima konsep masyarakat majmuk yang bersaudara, bukannya bermusuh dan kebencian, maka sepatutnya bersikap saling menghormati di antara satu sama lain. Apabila RUU 355 adalah khusus bagi penganut Islam sahaja yang berkewajipan meninggikan kedudukan agama Islam dari segi meninggikan taraf Mahkamah Syariah yang berkait dengan penganut Islam sahaja, maka sepatutnya mereka sekurang-kurangnya berdiam dan bersikap terbuka, tetapi malangnya ada kalangan yang menunjukkan penentangan dan berkempen bagi menghalangnya, serta mengugut yang tidak bersamanya.
RUU 355 adalah tangga menaikkan hukum syariat yang dihalang dan dihina oleh penjajah dahulu dan pintu memperkenalkan sistem kehakiman Islam dan hukuman Islam yang mendidik penjenayah dan masyarakat. Apabila ditentang bermakna menghalang jalan Allah, keadilan dan rahmat-Nya kepada seluruh alam, bermaksud mahu meroboh tangga yang menaikkan Islam. Tindakan menghalangnya adalah satu kezaliman dan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam dan setiap manusia yang ingin mencari kebenaran dan kebaikan. Tindakannya juga mengancam perpaduan masyarakat majmuk dengan maksud melemahkan umat Islam yang menjadi terasnya, tanpa menghargai sikap Islam yang terbuka dan fleksibel terhadap semua.
Sejarah Islam membuktikan keterbukaan Islam yang tegas pegangannya boleh menerima kebijaksanaan daripada semua pihak yang tidak bercanggah dengan Maqasid Syariah (tujuan mencari kebaikan dan menolak keburukan) dalam perkara yang tiada ketetapan daripada Al-Quran dan Hadis, termasuk yang datang daripada kebijaksanaan akal, pengalaman dan kajian pihak yang lain daripada Islam. Ini menjadikan Islam mewarisi tamadun ilmu paling kaya dalam dunia termasuk dalam aspek perundangan dan sistem kehakiman.
Aspek spiritual yang ada dalam kehakiman Islam berkonsepkan iman dan taqwa yang tidak ada dalam sistem ciptaan manusia, kerana konsep Islam bukan sahaja ilmu dan akhlak, menjadikannya mendidik masyarakat bukannya menghukum. Pendekatannya membawa keberkatan yang mewujudkan keamanan dan perpaduan masyarakat majmuk yang unggul.
Contohya hukuman sebatan syariat yang tidak mencederakan jasad yang berbeza dengan sebatan undang-undang sivil yang sangat menyeksakan dan tidak ada kesan mendidik. Konsep saksi yang adil dalam sistem kehakiman bermakna tidak fasik dalam sistem kehakiman Islam bersama konsep dosa besar dan neraka terhadap saksi fasik, kerana tiada dosa dan tanpa syarat menjaga maruah dalam undang-undang sivil sepatutnya diketahui oleh semua kalangan pengamal undang-undang dalam proses reformasi kehakiman yang perlu dihidupkan sepanjang zaman. Ini adalah ruang daripada RUU 355.
Jelas bahawa kalangan yang menentangnya adalah secara yang disebut dalam pepatah Melayu laksana membabi buta. Sudahlah babinya najis, tiba-tiba buta pula.
Maka umat Islam yang bangkit bersatu tidak boleh memberi kemaafan terhadap mereka. Adapun kalangan bukan Islam yang bersaudara dalam masyarakat majmuk bermadani wajib menolak parti politik dan semua kumpulan yang sifatnya sudah tidak adil dalam politiknya, bersifat cauvinis dan opportunis tanpa perhitungan secara saksama.
Islam tetap mewajipkan keutamaan pendekatan damai dan bersaudara, serta berhujah secara ilmu dan matang mencari kebenaran. Islam juga mewajibkan penganutnya tegas dan bijak mencari kebenaran dan menegakkannya bersama jaminan Allah:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ٧ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فَتَعۡسٗا لَّهُمۡ وَأَضَلَّ أَعۡمَٰلَهُمۡ٨ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَرِهُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأَحۡبَطَ أَعۡمَٰلَهُمۡ٩﴾ [محمد: 7-9]
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (7) Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan (Allah) mensia-siakan amal-amal mereka. (8) Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah (mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam Al-Quran), lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka) (9).” (Surah Muhammad: 7-9)
“Inilah Penyelesaian Kita”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS