Rafizi lagakan PAS, PKR kerana mahu singkir Azmin, kata Mohd Amar


(Bernama) – Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dilihat cuba untuk memecah-belahkan hubungan politik antara PAS dan PKR.

“Beliau (Rafizi) macam berusaha untuk pastikan PAS dan PKR berpecah supaya boleh menyingkir Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya dari dunia politik.

“Selama ini, hubungan PAS dan PKR baik kerana adanya individu seperti Azmin, namun tindakan Rafizi sekarang dilihat memang sedang berusaha untuk memecahkan hubungan politik yang ada di antara PAS dan PKR,” katanya selepas merasmikan Konvensyen PAS Kedah 2017 di Kompleks PAS Kedah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Rafizi membuat akaun bersumpah dan konsisten menuduh PAS menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun bekas timbalan presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa telah menafikan dakwaan itu.

Sementara itu, Mohd Amar berkata kemenangan tanpa bertanding Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing menjelang Muktamar Pusat Ke-63 hujung bulan ini membuktikan sokongan padu anggota PAS terhadap kepimpinan mereka.

“Ini sekaligus menyangkal dakwaan golongan tertentu dan PKR bahawa anggota PAS tidak mahukan Abdul Hadi kekal sebagai presiden PAS,” katanya.



Comments
Loading...