Rafizi sebenarnya terdesak serang Pas


(Sinar Harian) –  Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebenarnya tidak mempunyai sebarang bukti untuk mengaitkan Pas dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana dakwaannya yang menggunakan perkataan ‘sekiranya’.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UKM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, penggunaan istilah ‘sekiranya’ ini adalah satu indikasi nyata bahawa beliau sendiri sebenarnya tidak pasti dengan apa yang beliau perkatakan itu.

“Setelah meneliti akuan berkanun tersebut, saya fikir beliau sendiri tidak tahu sama ada betul atau tidak Pas menerima manfaat daripada dana 1MDB tersebut. Sebab itulah banyak pihak yang mempertikaikan kewibawaan Rafizi setelah kandungan akuan berkanun ini tersebar.

“Ini kerana ia seperti perumpamaan indah khabar dari rupa, janji kononnya akan ada pendedahan menyeluruh kaitan antara Pas dan 1MDB walhal pendedahan itu hanyalah melibatkan bekas Timbalan Presiden Pas,” katanya.

Beliau mengulas akuan berkanun Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang kini sedang hangat diperkatakan pelbagai pihak, terutamanya di media sosial.

Semalam dalam akuan bersumpah yang ditandatanganinya, Rafizi berkata transaksi itu diberitahu kepadanya oleh seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB.

Rafizi juga memutuskan membuat dakwaan itu di bawah akuan berkanun supaya beliau boleh membuktikan kebenaran dakwaan itu.

Menurutnya, tindakan Rafizi merujukkan Pas sebagai parti pembangkang utama di dalam akuan bersumpah beliau seharusnya memberi lonjakan semangat kepada penyokong Pas sendiri sama ada secara disedari atau tidak.

Ini kerana, ia adalah satu pengakuan dan pengiktirafan terbuka pemimpin itu ke atas pengaruh dan kekuatan Pas dalam arena politik negara berbanding parti-parti pembangkang lain, termasuklah parti beliau sendiri.

“Agak kelakar bahawa dalam keterdesakan beliau untuk menyerang Pas, dia tanpa disedari telah membuat sesuatu yang boleh menjejaskan moral rakan-rakan beliau di dalam PKR, DAP, Amanah dan Bersatu dengan menyebut Pas parti pembangkang terkuat negara,” katanya.



Comments
Loading...