Mahathir: PAS menang 15 kerusi sahaja, ‘Hadi hanya bantu Najib’


(MMO) – PAS diingatkan agar “tidak berangan” untuk memenangi 80 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum tanpa menyertai gabungan pembangkang.

Sejarah membuktikan pencapaian PAS “teruk” jika bersendirian tetapi prestasi meningkat sewaktu bersama BN atau Pakatan Rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata sejak berpisah dengan BN pada 1974, PAS hanya menang lima kerusi pada pilihan raya 1978 dan 1982 dan satu kerusi pada 1986.

Namun sewaktu bersama Barisan Alternatif pada 1999, PAS menguasai 27 kerusi dan 23 kerusi pada 2008 serta 21 kerusi pada 2013 bersama Pakatan Rakyat.

“Sekarang PAS akan sekali lagi bertanding bersendirian. Mengikut rekod PAS yang tertera di atas, jika PAS bertanding sebanyak 80 kawasan parlimen, pencapaian mungkin tidak lebih daripada 15 kerusi,” kata Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu mengulas sasaran PAS yang mahu bertanding 80 kerusi parlimen, termasuk kemungkinan bertanding di kerusi yang dimenangi DAP dan PKR.

Bagaimanapun naib presiden PAS Idris Ahmad dilapor berkata jumlah kerusi itu dimuktamadkan dan perincian itu masih dibuat oleh jentera pilihan raya.

Dalam coretan terbaru di blognya, Dr Mahathir yakin PAS bukan sahaja kalah banyak kerusi tetapi pembangkang juga merosot ekoran pertembungan tiga penjuru.

“PAS akan kalah dan mengheret turun parti pembangkang lain. Umno akan menang, kerana penyokong parti lawan berpecah.

“Secara langsung PAS berusaha, membelanja wang yang tidak sedikit untuk memberi kemenangan kepada BN dan Datuk Seri Najib [Razak].

“Jika dikatakan PAS di bawah pimpinan Haji Hadi [Awang] menyokong kepimpinan Najib, ia bukanlah keterlaluan. Ia memang benar,” katanya.

 



Comments
Loading...