Mahathir punca Melayu berpecah, bukan PAS – Khalil


(Antara Pos) – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya bertanggungjawab terhadap perpecahan yang berlaku di kalangan kaum Melayu, demikian tegas Timbalan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, pandangan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa PAS punca kekalahan pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang adalah kenyataan terdesak dan PAS bukanlah parti yang mengakibatkan kuasa politik kaum Melayu semakin berkurangan pada hari ini.

“Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sudah buat kenyataan baru-baru ini, di mana sekarang ini, bola berada di kaki PPBM, sama ada hendak pilih PAS atau Umno. Malangnya PPBM mengambil langkah untuk bersama DAP.

“Jadi tuduhan beliau mengatakan PAS memecahbelahkan kaum Melayu adalah tuduhan tidak berasas.

“Jika dilihat sejarah, di zaman Dr Mahathir yang menyebabkan kuasa Melayu terhakis akibat kesilapan persempadanan semula pilihan raya yang tidak memberikan kekuatan kepada kawasan dan negeri yang majoritinya kaum Melayu,” katanya kepada Antarapos, hari ini.

Khalil berkata demikian ketika mengulas kritikan Dr Mahathir yang mendakwa PAS hanya sekadar parti yang memecahbelahkan orang Melayu sehingga kaum itu hilang kuasa dan pengaruh politik.

Bekas perdana menteri itu juga menyalahkan PAS seolah-olah memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN) apabila enggan bekerjasama dengan pembangkang menerusi pilihan raya umum yang akan datang.

Malah Dr Mahathir sinis dengan sasaran PAS sebelum ini yang mahu bertanding di 80 kerusi parlimen pada PRU14 kelak, dengan meramalkan parti itu hanya akan menang di 15 kerusi sahaja.

Respon Dr Mahathir itu menyusul dipercayai ‘membalas’ pilihan yang dikemukakan Hadi baru-baru ini, supaya mana-mana parti yang ingin mentadbir negara memilih untuk bekerjasama dengan PAS atau Umno.

Hadi percaya kuasa dan pengaruh politik Melayu hanya terdapat di antara dua parti berkenaan sahaja.

“Agenda PAS adalah untuk menyelamatkan negara dengan Islam. Mana-mana pihak yang mahu bersama PAS dan mendokong agenda ini, kita buka tangan dengan seluas-luasnya,” kata Khalil.

Khalil juga membidas kritikan Dr Mahathir yang disiar dalam blognya CheDet, bahawa PAS sanggup berbelanja lebih duit untuk memastikan kemenangan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Ini menurut Dr Mahathir, menunjukkan Hadi menyokong kepimpinan Najib.

“Kita (PAS) tidak sokong sebaliknya kita menasihati. Itulah pendirian PAS. Oleh kerana itu sikap jelas yang diambil PAS, iaitu pendekatan tolong-menolong dalam kebaikan. Apa yang baik dilakukan kerajaan kita sokong. Bukan bermakna kita sokong kepimpinan Najib, tidak. Sebaliknya kita bersama dengan kerajaan yang mahu bawa kebaikan kepada rakyat. Apa yang tidak baik kita akan bantah,” jelasnya.

Bagaimanapun Khalil percaya kritikan keras Dr Mahathir terhadap PAS itu mungkin agenda DAP, yang sedari dahulu mengambil tindakan menyerang partinya.

“Saya percaya mungkin DAP yang arah, ataupun itu yang dikehendaki oleh DAP. Jika begitu amat malanglah. Yang pasti sekarang yang dominan di dalam PH adalah DAP, bukan PKR, Amanah atau PPBM,” tegas Khalil.



Comments
Loading...