Berita palsu cemar imej parti


(Sinar Harian) – Parti Generasi Baru bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak media TV3, Utusan Malaysia dan Bernama berhubung penyiaran berita fitnah terhadap kepimpinan tertinggi parti itu.

Setiausaha Agungnya, S Gobi Krishnan berkata, tindakan sama juga akan diambil terhadap Kumar Aaman yang merupakan ahli biasa Parti Generasi Baru yang cuba merampas dan mencemarkan nama baik parti itu.

“Perkara-perkara ini kita akan bincangkan dan buat keputusan menerusi mesyuarat majlis tertinggi yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita juga akan membuat satu laporan polis dan tindakan undang-undang terhadap Mohamad Zaini Jaafar kerana cuba menyamar sebagai ahli parti dan pemangku setiausaha agung parti ini,” katanya pada sidang media, semalam.

Sebelum ini, kepemimpinan asal Parti Generasi Baru (NewGen Party) mendakwa partinya telah dirampas Mohamad Ezam dan Timbalannya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dengan menukar nama parti itu kepada Parti Bebas Rasuah (PBR) seperti yang diumumkan awal bulan ini.

Selain itu, terdapat  laporan polis dan aduan dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk jalankan siasatan berikutan pelanggaran Perlembagaan parti dan undang-undang agensi itu.

Mengulas lanjut, Gobi berkata, Mohamad Ezam dan Khairuddin adalah pengerusi dan timbalan pengerusi parti yang sah yang telah dipilih secara rasmi di dalam mesyuarat majlis tertinggi yang diadakan pada 11 Mac lalu.

“Keputusan ini kemudiannya telah disahkan di dalam Mesyuarat Agung Khas parti yang telah dihadiri ke semua ahli jawatankuasa (AJK) parti pada 30 Mac lalu.

“Perkara ini telah pun dikemukakan secara rasmi kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan dikemas kini dalam sistem EROSES serta diterima sebagai AJK terkini yang sah,” ujarnya.

Beliau berkata, tuduhan bahawa berlaku pecah amanah terhadap urusan kewangan parti itu juga adalah tidak berasas.

“Segala urusan kewangan parti adalah teratur dan tidak wujud sebarang salah laku terhadapnya.

“Untuk makluman, laporan penyata kewangan terkini parti telah pun diaudit dan disahkan oleh pihak ROS,” katanya.

Menurutnya, tidak wujud jawatan presiden dalam parti sebelum ini memandangkan Perlembagaannya dirangka di mana hanya wujud jawatan pengerusi.

“Pengakuan Kumar sebagai presiden parti adalah menyalahi undang-undang parti dan ini jelas menunjukkan beliau tidak faham perlembagaan parti ini.

“Bagaimana pun jawatan presiden hanya diwujudkan kembali di dalam pindaan Perlembagaan parti yang dilakukan baru-baru ini di Mesyuarat Agung Khas yang mendapat kelulusan RoS. Pindaan ini juga termasuk penukaran nama parti,” jelasnya.



Comments
Loading...