Di mana wakil Kelantan dalam kepimpinan PAS?


DARI SUDUT LAIN

Muktamar PAS kali ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan beberapa tahun kebelakangan. Bahkan sangat berbeza dengan fenomena dalam parti-parti politik lain. Ini kerana banyak jawatan-jawatan tertinggi yang dimenangi tanpa bertanding. Mengikut kenyataan media Jawatankuasa Pemilihan PAS, setakat ini jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda, Timbalan Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda, Ketua Muslimat, Timbalan Ketua Muslimat, Naib Ketua Muslimat dan seluruh barisan kepimpinan Dewan Ulama dimenangi tanpa bertanding.

Baca:

http://www.bharian.com.my/node/272982

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/995-presiden-pas-timbalan-menang-tanpa-bertanding

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/1104-ketua-pemuda-muslimat-menang-tanpa-bertanding

Ini cukup menarik. Walaupun parti itu adalah paling hangat diperkatakan dalam arena politik tanah air, namun kelihatan politik dalaman parti itu sendiri agak tenang. Ini berbeza dengan parti-parti utama lain samada UMNO, PKR, PPBM, MCA, MID, GERAKAN PAN dan DAP apabila masing-masing memutuskan untuk tidak melakukan pemilihan dalam tempoh terdekat ini. Ianya dipercayai kerana tidak mahu politik dalaman yang tidak stabil bagi menempuh pilihanraya umum yang semakin dekat.

Apa yang agak menonjol dalam pemilihan pimpinan PAS kali ini kurangnya kepimpinan utama dari negeri Kelantan selain Ust Fadhli Shaari yang menang tanpa bertanding sebagai Naib Ketua Pemuda PAS. Selain itu, yang ada hanyalah pencalonan di peringkat Naib Presiden iaitu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato Amar Abdullah. Beliau bakal bersaing dengan tiga calon yang lain; YB Ustaz Idris Ahmad, YB Dato’ Iskandar Abdul Samad, dan pencalonan baru, YB Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi. Perlembagaan PAS memperuntukkan hanya tiga orang Naib Presiden perlu dipilih. Di Dewan-Dewan lain iaitu Dewan Ulamak, dan Dewan Muslimat, tidak ada wakil Kelantan di peringkat tertinggi masing-masing.

Kelantan merupakan mercu tanda bagi PAS. Kebanyakan pemerhati politik melihat Kelantan sebagai kayu ukur kemampuan PAS untuk menjadi pentadbir bagi sesebuah kuasa politik. Jika dilihat dari parti lain, semua peneraju kerajaan Negeri berada di pada posisi tertinggi di peringkat parti. DAP yang meneraju Pulau Pinang meletakkan Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung. Menteri Besar Selangor adalah Timbalan Presiden PKR.

Pada sesi yang bakal berakhir ini, Dato Mohd Amar adalah Naib Presiden PAS. Sebelum ini Husam Musa di peringkat Naib Presiden mewakili kerajaan Kelantan. Bahkan sejak zaman berzaman, Al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz berada dalam saf kepimpinan tertinggi parti PAS.

Maka apakah pemilihan kali ini bakal mencarik tradisi PAS terdahulu dan juga menyalahi amalan biasa parti-parti politik? Adakah kedudukan Kelantan sebagai negeri kubu utama PAS tidak dimanifestasikan dalam saf kepimpinan utama parti itu? Jika tiada wakil Kelantan yang terpilih, ianya akan menjadi satu sejarah kecil PAS apabila buat pertama kalinya sejak penubuhannya, Kelantan tidak mempunyai sebarang wakil di pucuk kepimpinan tertinggi parti. Apakah kesannya kepada PAS, dan yang lebih penting lagi kesannya kepada rakyat Kelantan terutamanya dalam menghadapi PRU13 tidak lama lagi? Semuanya terserah kepada perwakilan yang bakal memilih pada muktamar nanti.

 



Comments
Loading...