Andai PAS putus dengan PKR, wajarkah keluar dari kerajaan Selangor?


DARI SUDUT LAIN

Mungkin isu yang paling hangat menjelang muktamar PAS yang akan berlangsung beberapa hari lagi adalah berkenaan usul memutuskan hubungan dengan PKR. Setakat ini, begitu banyak kawasan PAS termasuklah di Selangor sendiri melalui siri-siri mesyuarat agungnya telah meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR.

Ia menjadi satu polemik besar apabila sebahagian pihak berpendapat kerajaan Selangor akan terancam jika PAS bertindak memutuskan kerjasama dengan PKR. Perkiraan yang diambil ialah, jika PAS putus hubungan dengan PKR, maka dari segi moral dan undang-undang PAS perlu keluar daripada kerajaan Selangor kerana Selangor adalah sebuah kerajaan milik parti tersebut.

Namun begitu, Sejauh mana perkiraan tersebut benar? Perbahasan mengenai perkara ini bertitik tolak daripada persoalan sejauh manakah benarnya dakwaan kerajaan Selangor sekarang adalah milik PKR. Apa asasnya kerajaan Selangor dikira sebagai milik PKR? Adakah kerana MB daripada PKR, maka keseluruhan pentadbiran Selangor jadi milik PKR? Jika posisi MB yang dipegang oleh PKR, menunjukkan parti tersebut sebagai ‘peneraju’ pentadbiran Selangor, ia boleh diterima. Namun posisi MB yang dipegang PKR, tidak sama sekali mewajarkan keseluruhan pentadbiran Selangor adalah milik PKR.

ASPEK MANDAT RAKYAT

Dakwaan PAS perlu keluar daripada pentadbiran Selangor jika memutuskan hubungan dengan PKR disebabkan MB daripada PKR, adalah sangat naif. Hakikatnya kerajaan Selangor bukan milik MB dan PKR sahaja. Untuk menentukan siapakah (parti) yang “memiliki” kerajaan Selangor, pertama mesti dilihat daripada aspek MANDAT yang diberikan rakyat Selangor pada PRU13 dahulu.

Mandat di PRU13 dahulu adalah kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR), bukan hanya satu-satu parti tertentu. Baik PKR, PAS atau DAP yang semuanya bersefahaman di atas platform PR. Mereka menyertai PRU13 Selangor di atas kebersamaan PR.

Samada PR adalah sebuah entiti atau tidak, bukan menjadi persoalan. Persoalannya ialah, kepada majoriti rakyat Selangor mereka mengundi wakil-wakil rakyat mereka berasaskan persefahaman politik PR. Lalu penyokong PAS beri undi kepada PKR dan DAP, dan begitulah sebaliknya. Sebahagian mereka tidak akan mengundi parti-parti lain jika tidak kerana persefahaman PR.

Tidak ada siapa boleh menafikan hakikat ini bahawa calon-calon PKR, DAP dan PAS yang menang di Selangor adalah hasil undian penyokong pelbagai parti yang bertanding atas persefahaman PR. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa, faktor kecemerlangan Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini banyak menyumbang kepada pertambahan kerusi PR. Justeru, mana-mana parti yang meninggalkan PR haruslah, dari sudut moralnya, meninggalkan dan keluar daripada kerajaan Selangor.

Persoalan selanjutnya adalah, jika PAS memutuskan hubungan dengan PKR, adakah PAS memutuskan hubungan dengan PR? Apabila DAP putuskan hubungan dengan PAS yang mengheret semua parti ke kemelut ini, adakah DAP juga keluar daripada PR?

Ketiga-tiga parti berkenaan mempunyai hak terhadap PR. Dengan kata lain, ketiga-tiganya adalah pemilik bersama PR selagimana PR tidak dirungkaikan. Hanya DAP yang mengisytiharkan PR sudah tiada dan tidak relevan lagi.

Sepatutnya, dari segi moral DAP perlu keluar daripada kerajaan Selangor sekalipun mempunyai hubungan dengan PKR. Hal ini disebabkan hubungan DAP-PKR sekarang ialah di atas platform baru Pakatan Harapan (PH). PH tiada kena mengena dengan PR. Rakyat memberi mandat kepada PR, bukan kepada PH.

Hakikatnya, mengisytiharkan kerajaan Selangor (mahupun kerajaan Pulau Pinang) sebagai kerajaan PH dengan mengetepikan PR adalah pengkhianatan kepada mandat rakyat, khasnya kepada setiap undi penyokong PAS yang mengundi mahupun bertungkus lumus berkempen untuk PR dahulu. Atas asas ini jugalah, Pan dan PPBM tidak berhak untuk menuntut posisi dalam kerajaan Selangor mahupun Pulau Pinang.

Ringkasnya, hubungan dengan PKR bukan alasannya untuk menentukan patut atau tidak patut seseorang exco berada dalam kerajaan Selangor atau tidak.

ASPEK PENTADBIRAN

Dari sudut pentadbiran dan pengurusan, MB adalah ketua eksekutif kerajaan Selangor, sementara exco adalah pasukan pengurusan bagi pentadbiran negeri Selangor. Semua jawatan lain termasuklah ahli-ahli majlis di PBT, adalah sebahagian daripada kakitangan kerajaan negeri Selangor.

Pentadbiran kerajaan negeri dilaksanakan secara profesional tanpa dipengaruhi oleh pegangan politik pegawai-pegawainya. Seseorang kakitangan di sesebuah kementerian atau agensi kerajaan pusat berfungsi mengikut skop kerja beliau tanpa mengira pegangan politik beliau. Beliau mungkin berketuakan seorang yang mempunyai afiliasi politik yang berlainan. Kedua-dua mereka tidak boleh dipengaruhi oleh kecenderungan politik masing-masing semasa menjalankan tugas.

Contohnya, walaupun mungkin seorang mufti adalah ahli UMNO, tidak semestinya semua pegawai agama dibawahnya yang menjadi ahli PAS perlu keluar dari Jabatan Mufti. Beliau bekerja untuk kerajaan, bukan untuk UMNO. Jika tidak, maka semua pegawai kerajaan yang bukan ahli UMNO termasuk mufti, imam masjid dan sesiapa yang berada di bawah organisasi kerajaan wajib meletak jawatan kerana ketua kerajaan sekarang iaitu Perdana Menteri adalah ahli UMNO. Presiden UMNO dan pengerusi BN!

Maka adalah tidak munasabah untuk seseorang pimpinan atau pegawai kerajaan meletakkan jawatan hanya kerana parti politik beliau memutuskan hubungan dengan parti politik ketuanya. Justeru dari aspek pentadbiran kerajaan negeri Selangor, soal parti adalah tidak berkait.

ASPEK ISTANA DAN PERLEMBAGAAN

Aspek ini menjadi relevan kerana proses perlantikan kepimpinan kerajaan negeri seperti termaktub dalam undang-undang tubuh atau Perlembagaan Negeri Selangor menetapkan bahawa Menteri Besar dan exconya adalah dilantik oleh DYMM Sultan Selangor.

Klausa (7) Fasal 53 Perlembagaan Negeri Selangor menyatakan:

“…a member of the State Executive Council other than Menteri Besar shall hold office at His Highness’s pleasure..”

Berdasarkan kepada pemahaman umum, yang dilantik adalah bertanggungjawab kepada yang melantik. Atas dasar itu maka keseluruhan pimpinan kerajaan negeri Selangor dari MB hinggalah exconya adalah bertanggungjawab kepada Sultan Selangor. Dengan kata lain kerajaan negeri Selangor juga adalah hak Sultan Selangor.

Ini termaktub di dalam perlembagaan Selangor tanpa menyebut sepatah perkataan pun tentang parti yang diwakili Adun. Perlembagaan melihat setiap Adun sebagai mewakili rakyat, bukan mewakili parti masing-masing. Dengan kata lain Soal Adun mewakili parti tidak berbangkit dalam perlembagaan negeri Selangor.

Kesimpulannya, tidak timbul langsung seseorang MB ataupun exco perlu meninggalkan barisan kepimpinan kerajaan negeri Selangor hanya kerana putus hubungan antara parti masing-masing.

Ringkasan dari penerangan di atas;

1. Tidak ada sebab yang kukuh untuk exco PAS keluar daripada kerajaan negeri Selangor jika PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

2. Mandat rakyat adalah kepada PR, dan PAS tidak pernah isytihar keluar daripada PR. PAS sebagaimana PKR adalah masih mempunyai hak dan tanggungjawab kepada mandat rakyat Selangor di PRU13.

3. Satu satunya parti yang mengisytiharkan terkuburnya PR secara unilateral dan tanpa dipaksa ialah DAP. Maka DAP perlu meninggalkan pentadbiran kerajaan Selangor secara bermaruah.

4. Menukar kerajaan Selangor kepada kerajaan PH adalah pengkhianatan kepada mandat rakyat, maka ia satu perbuatan yang mencemari roh demokrasi.

5. Mana-mana parti yang tidak bersama di dalam PR semasa di PRU13 adalah tidak sah menuntut hak kepada kerajaan Selangor, khasnya tanpa persetujuan ketiga-tiga parti asal.

6. Dari segi perlembagaan, DYMM Sultan Selangor juga mempunyai hak kepada kerajaan Selangor melalui proses perlantikan yang berada di bawah kuasa Sultan.

7. Perlantikan itu pula, sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negeri Selangor, tidak ada kaitan secara tersurat dengan mana-mana parti politik.

8. Samada dari aspek moral, pentadbiran mahupun perlembagaan, exco dan mana mana ahli PAS yang dilantik ke jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor tidak perlu meletakkan jawatan hanya kerana putus hubungan antara PAS dan PKR.

 



Comments
Loading...