Surat terbuka balas cabaran Pemuda PAS
Rafizi Ramli, Malaysiakini
Saya membaca laporan serangan yang dibuat oleh perwakilan-perwakilan Pemuda PAS terhadap PKR, terutamanya saya dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.
Secara khusus, perwakilan Pemuda PAS dari Selangor iaitu Mohd Sukri Omar (bawah, kanan) dilaporkan mencabar saya supaya “berani menjadi anak jantan” dan bertanding sekali lagi di Parlimen Pandan.
Saya berasa lucu dengan cabaran itu kerana jika tidak kerana tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang secara berterusan mengheret saya ke mahkamah (sama ada pertuduhan jenayah atau saman sivil), saya sudah tentu akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan.
Lagi pun saya adalah wakil pembangkang pertama yang memenangi kerusi itu dengan majoriti yang besar iaitu sekitar 27,000 undi (atau 67 peratus undi popular).
Malah, kemenangan PRU13 lalu menjadikan saya ahli parlimen Melayu pembangkang yang mempunyai saiz majoriti paling besar di seluruh negara, jauh meninggalkan sahabat-sahabat dari PAS.
Di Pandan juga, undi Melayu yang saya menangi di peringkat Parlimen Pandan jauh meninggalkan undi Melayu yang dimenangi Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad yang bertanding di DUN Cempaka di dalam parlimen saya.
Maknanya ada pengundi Melayu di Pandan yang mengundi saya tetapi tidak mengundi PAS.
Sebab itu adalah sangat lucu apabila Pemuda PAS mencabar saya bertanding di Pandan kerana saya bukannya takut atau mahu lari ke mana-mana!
Masalahnya saya telah dijatuhkan hukuman penjara satu setengah tahun atas pertuduhan membongkar Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan bagaimana 1MDB tidak membayar anak syarikat LTAT dan geran kerajaan diambil 1MDB walaupun ia dikeluarkan untuk anak syarikat LTAT.
Atas sabitan itu, saya tidak dapat bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang.
Malah, saya mengikuti laporan serangan Pemuda PAS terhadap saya dari kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen 8, Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan berhubung pendedahan saya mengenai skandal NFC dahulu.
Kalaulah ada anak-anak muda dan pemimpin Pemuda PAS yang sama-sama membantu saya menjalankan amanah melawan penyelewengan dan rasuah besar yang membabitkan pentadbiran Najib, mungkin di sebelah saya di dalam kandang tertuduh adalah anak-anak muda pimpinan Pemuda PAS ini.
Mungkin juga tugas itu dapat diagih-agihkan supaya tidaklah saya terpaksa berdepan sehingga 12 kes mahkamah kerana ada anak muda pimpinan Pemuda PAS yang berani juga membongkarkan penyelewengan rasuah pemerintah dan berdepan dengan hukuman penjara.
Malangnya ada pimpinan PAS (dulu dan kini) yang lebih selesa menerima wang rakyat terus dari perdana menteri, atau lagi selesa menyertai rombongan ke luar negara bersama pimpinan kerajaan, atau lebih selesa hadir dalam majlis Kelab Umno di United Kingdom, atau lebih selesa tidak mengundi di Parlimen bila mana belanjawan yang mengutip GST dan menekan rakyat dibentangkan Najib.
Saya ingat tindakan Pemuda PAS masih belum menyaman saya atau membuat laporan polis mengenai akuan berkanun saya menamakan bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Nasharuddin Mat Isa menerima sejumlah wang yang melalui akaun Najib adalah kerana mereka tidak mahu saya hilang kelayakan bertanding agar mereka dapat berdepan dengan saya dalam PRU14 di Pandan nanti.
Begitulah agaknya (bersangka baik).
Mencabar saingan politik kita dengan pelbagai gelaran dan ugutan bukanlah lambang keberanian. Lambang sebenar keberanian ialah berkata benar kepada pemerintah yang berkuasa sepenuhnya dan akan memenjarakan kita kerana kita berkata benar.