Kerana Mahathir, PAS tolak kerjasama dengan PPBM
(MYKMU.NET) – Selepas beberapa bulan turun naik pentas ceramah dan buat program politik bersama, akhirnya hari ini PAS secara rasmi mengumumkan keputusan menolak kerjasama dengan PPBM.
Ini berita paling mengecewakan PPBM yang selama ini mengharapkan akan ada hasil positif dari beberapa siri rundingan pemimpin utama kedua-dua pihak sebelum ini.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang ketika mengumumkan kata putus itu antara lain menjelaskan PPBM sebagai parti caca marba, tiada pendirian dan hala tuju yang jelas serta tak diketahui siapa pemimpin yang jelas mengerakkan PPBM.
“Kita pun tidak tahu siapa pemimpin (PPBM), siapa imam dan siapa makmum kerana mereka berlumba-lumba untuk membuat kenyataan.
“Oleh itu kita memutuskan bahawa PAS tidak akan mempunyai hubungan dengan parti itu,” itu kata Hadi.
Bila Hadi sebut siapa imam dan siapa makmum dalam PPBM, mudah untuk kita faham persoalan itu merujuk kepada tindak-tanduk Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang acap kali membayangi peranan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti.
Ada sahaja kenyataan dan tindakan Dr Mahathir yang mendahului Muhyiddin. Seolah-olah Pengerusi parti yang sepatutnya sekadar bersifat penasihat tapi dia pula yang lebih-lebih nak menggerakkan segala dasar dan polisi parti manakala Presiden sekadar jadi boneka semata-mata.
Misalnya ketika mula-mula hangat isu kerjasama PPBM dan PAS, sedang elok Muhyiddin guna pendekatan diplomasi dan berlapik kenyataannya memujuk PAS tak semena-mena Dr Mahathir masuk campur menggertak minta PAS buat keputusan dalam tempoh yang dia tetapkan. Tersentak PAS.
Sedang rancak rundingan lain berjalan elok dah nampak macam nak membuahkan hasil, datang lagi Dr Mahathir dengan kenyataan media dan ketika berceramah, “kalau PAS tak bersama pakatan pembangkang maknanya PAS tolong UMNO dan BN untuk menang pilihan raya”.
Panas je pemimpin PAS dengar, ini nak berunding ke nak peras ugut. Orang baru saja sejuk hati datang orang tua ni bikin hangat kembali. Bikin spoil orang kata.
Begitu juga dalam isu RUU 355 Akta Mahkamah Syariah, pendirian Muhyiddin awalnya menyokong pindaaan dilaksanakan, Mahathir pula menyifatkan RUU 355 sebagai memecahkan umat Islam. Kesannya Muhyiddin terpaksa berdolak-dalik sekejap sokong sekejap tidak.
Itu semua cukup menggambarkan kedudukan mengelirukan dalam PPBM. Siapa yang memandu hala tuju PPBM, siapa pemimpin nombor satunya, Pengerusi atau Presiden? Bukan sahaja PAS yang pening dengan ketidaktentuan tersebut, orang ramai yang memerhati pun naik pelik dibuatnya.
Bayangkan kalau Muhyiddin dilantik jadi PM, letih dia setiap dasar dan polisi pentadbirannya kena mengikut segala macam kehendak Dr Mahathir. Penasihat lebih berkuasa dari PM, jadi bonekalah jawabnya.
Tapi nak buat macam mana, sudah ketentuan begitulah perangai Dr Mahathir sejak dulu dari dalam UMNO lagi. Egonya tinggi. Dia rasa dia sentiasa betul dan hebat, kena ikut segala kemahuan dia, kalau tak diikutkan nanti akan ada sahaja dia buat perangainya nanti.
Kepada penyokong pembangkang terutama dari PPBM yang tengah melalak di media sosial sekarang, sebelum nak terus marahkan PAS eloklah sembur dulu Dr Mahathir. Suruh dia banyakkan cermin diri dari asyik sibuk arah orang lain ikut kehendak dia. Umur dah lebih 90 tahun, belajar-belajarlah rendahkan ego sendiri.