PAS parti paling demokratik


DARI SUDUT LAIN

Ramai pemerhati luar menyatakan bahawa mesyuarat agung atau disebut sebagai Muktamar PAS adalah yang paling tenteram dan harmoni. Walaupun pada muktamar kali ini mereka mengadakan pemilihan bagi jawatankuasa baru bagi sesi 2017-2019, tetapi suasana sangat berbeza jika dibandingkan dengan mana-mana parti politik lain di tanah air. Pemilihan tidak menjadi fokus utama di dalam muktamar PAS sebagaimana suasana dalam parti politik lain baik pemerintah mahupun pembangkang. Boleh disifatkan pemilihan mereka begitu hambar kerana tidak kelihatan sebarang kempen, debat, atau sebarang perbincangan yang menjurus ke arah itu walaupun perlembagaan parti tersebut tidak menghalangnya.

Keadaan ini telah menggambarkan seolah-olah PAS telah kembali ke zaman permulaan dahulu. Walaupun dalam lipatan sejarah mereka terdapat beberapa tempoh berlaku krisis kepimpinan dan pemilihan hangat, tetapi secara keseluruhannya pemilihan sangat harmoni. Banyak jawatan yang dipertandingkan biasanya menang tanpa bertanding, bukan kerana tidak dibenarkan bertanding tetapi kerana ramai calon menarik diri. Dalam sejarah PAS, pertandingan jawatan Presiden hanya berlaku sekali iaitu pada tahun 2015, antara Dato Seri Abdul Hadi dan Ustaz Ahmad Awang. Dato Seri Abdul Hadi pernah dicalonkan untuk bertanding dengan bekas Presiden PAS Dato Fadzil Noor, tetapi beliau menarik diri.

Keadaan ini juga menunjukkan PAS adalah sebuah parti yang paling mengamalkan demokrasi. Disaat banyak parti masih tidak berani melakukan pemilihan disyaki bimbang akan berlaku pergolakan dalaman akibat perebutan kuasa, tetapi PAS menunjukkan suatu kematangan dalam berpolitik apabila meletakkan matlamat ahlinya dalam berpolitik bukan untuk merebut jawatan tetapi untuk berkhidmat kepada rakyat dan orang bawahan. Tepat sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS dalam ucapan penggulungannya: “Pemimpin sesuatu kumpulan itu adalah khadam kepada mereka.”

PAS pernah dituduh sebagai sebuah parti yang mengamalkan teokrasi dan autokrasi. Tetapi jika dibandingkan dengan amalan parti-parti lain, nampaknya tuduhan tersebut lebih layak buat mereka. Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia dengan kuasanya telah melantik Hishamudin Tun Hussein, sepupunya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas tanpa melalui sebarang bentuk permuafakatan. PAN pula melantik seorang lagi Naib Presidennya di hujung sebuah seminar tanpa sebarang pemilihan. PKR sehingga kini mewujudkan jawatan Ketua Umum buat Dato Seri Anwar Ibrahim, satu jawatan yang tidak dipertandingkan tetapi boleh menjalankan semua urusan eksekutif parti.

PAS mendakwa mereka memperjuangkan Islam. Dari satu sudut, mereka benar-benar melaksanakan ajaran Islam dalam corak mereka berpolitik. Di dalam kaedah melantik imam solat, seorang imam seharusnya menoleh dahulu ke belakang untuk melihat adakah terdapat orang yang lebih layak dari beliau untuk menjadi imam. Mungkin ramai yang menarik diri dari bertanding adalah kerana melihat calon-calon lain yang bertanding adalah lebih layak dari mereka.

 



Comments
Loading...