Azmin belum tentu kekal MB jika pecat exco, kata PAS


(MMO) – PAS mempersoalkan sama ada kedudukan Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri besar akan terjamin jika tiga exco PAS melepaskan jawatan mereka.

Mohd Khairuddin Aman Razali berkata timbalan presiden PKR itu juga harus memikirkan kedudukannya jika bertindak memecat tiga exco itu, lapor Mingguan Malaysia.

“Kita tengok apa kena berlaku selepas itu, apakah jaminan Mohamed Azmin akan kekal sebagai menteri besar.

“Kalau dia bertindak, dia kena tengok apa manfaat ke atas diri dia juga,” Ahli Jawatankuasa PAS itu dilaporkan berkata.

Khairuddin mengulas laporan akhbar berhubung permintaan Azmin yang mahu tiga exco PAS di Selangor melepaskan jawatan.

Namun Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib menafikannya.

Sementara itu, PAS Selangor menyifatkan Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar sebagai “manusia paling kecewa” kerana gagal memecahkan kerajaan Selangor”.

“Tan Sri Noh Omar sepatutnya melihat Umno dan BN Selangor sendiri yang terus menikus dan mendayus terhadap kelemahan Kerajaan Persekutuaan,” kata pesuruhjayanya Sallehin Mukhyi.

“PAS terus kekal dalam kerajaan Selangor pada hari ini kerana menunaikan hak yang diberikan oleh rakyat dan kematangan pentadbiran kerajaan yang ada pada hari ini.”

Sallehin mengulas kenyataan Noh yang melabel PAS sebagai ‘dayus’ kerana masih mahu berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor selepas memutuskan hubungan dengan PKR.

Beliau turut mengingatkan Noh bahawa PAS di negeri itu tidak pernah membuat pakatan dan kekecohan untuk menjatuhkan bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Bila menteri besar baru Datuk Seri Azmin Ali dilantik, PAS terus teguh untuk meneruskan agenda menjaga kesejahteraan dan keharmonian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

 



Comments
Loading...