‘Hadi Sangat Layak Jadi Perdana Menteri, Lebih Layak Daripada Anwar’ – Tun M


(Malaysian Digest) – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masih teguh dengan pendiriannya sejak beliau memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri bahawa bekas Ketua Pembangkang itu tidak layak diangkat sebagai Perdana Menteri.

Bahkan, Dr Mahathir selaku Penasihat Pakatan Harapan juga tidak mengangkat plakad ‘Anwar Perdana Menteri ke 7’ sewaktu Kongres PKR pada Ahad dimana PKR sebulat suara mencalonkan Anwar selaku calon Perdana Menteri daripada parti berkenaan.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAN, Mohamad Sabu dimana kedua-duanya turut serta bersama PKR mengangkat plakad berkenaan.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga hadir pada majlis berkenaan namun tidak mengangkat plakad tersebut, seperti Dr Mahathir.

Dr Mahathir kemudiannya diserbu wartawan sejurus tamat majlis berkenaan dan ditanya mengapa beliau tidak mengangkat plakad berkenaan.

“Tun. Kenapa tak angkat plakad?” soal wartawan, namun Dr Mahathir sekadar senyum dan melambai tangan sebelum memasuki kenderaannya.

Pada majlis berasingan, Dr Mahathir ditanya mengenai pendirian PAS menamakan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Perdana Menteri.

“Jika mereka (pembangkang) menang, sudah tentulah beliau (Abdul Hadi) boleh menjadi Perdana Menteri. Beliau sangat layak, lebih layak daripada Anwar,” ujar Dr Mahathir.

Mengulas isu pendirian PKR menamakan Anwar selaku Perdana Menteri Pakatan Harapan, Mukhriz dalam pada itu menegaskan isu berkenaan belum dimuktamadkan dan akan diusulkan pada mesyuarat pakatan berkenaan kelak.

“Tak apalah, kita bincangkan ini (calon perdana menteri) di (mesyuarat) Pakatan Harapan sebelum kita buat sebarang keputusan.

“Tapi saya setuju sebaik-baiknya calon perdana menteri diumum sebelum pilihan raya,” kata Mukhriz.

Ditanya mengenai tindakan Dr Mahathir dan Muhyiddin tidak turut serta mengangkat plakad ‘Anwar Perdana Menteri ke 7’, Mukhriz memberi alasan kedua-dua pemimpin itu sibuk mengambil gambar.

“Saya rasa mereka sibuk mengambil gambar dan disebabkan itu tidak memegang sepanduk,” kata Mukhriz sambil menambah beliau juga tidak diberikan plakad berkenaan sewaktu menghadiri kongres tersebut.



Comments
Loading...