Dr M sudah lepas zaman, tak sesuai jadi PM, kata PAS


(FMT) – Pakatan pembangkang mempunyai ramai pemimpin muda yang lebih sesuai daripada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dijadikan calon perdana menteri, kata naib presiden PAS.

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik Sinar Harian Online mengakui bekas perdana menteri itu mempunyai kelebihan tersendiri, tetapi beliau tidak lagi sesuai dicalonkan sebagai perdana menteri kerana sudah melepasi zaman.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, pakatan pembangkang perlu memilih calon lain yang lebih muda dan sesuai dengan perubahan pentadbiran negara.

“Ini memandangkan Mahathir sudah melepasi zaman dan sepatutnya perlu ada calon lebih baik, memandangkan kita sudah masuk era ‘litar sepang’ (zaman baru) jadi mesti ada calon muda dan berwibawa.

“Lagipun pembangkang mempunyai ramai lagi calon yang sesuai dan muda yang boleh diketengahkan,” katanya selepas merasmikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan “free market for asnaf” di Masjid As-Salam Pengkalan Chepa, hari ini.

Isu bakal calon perdana menteri pakatan pembangkang menjadi rumit dengan penyertaan PPBM dalam gabungan itu. Sebelum ini, PKR, DAP dan Amanah dilihat tiada masalah mengangkat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka.

Pada Kongres PKR ke-12 bulan lalu, semua pemimpin utama Pakatan Harapan mengangkat sepanduk “Anwar PM ke-7, kecuali Dr Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Gimik itu mengundang rasa tidak senang sesetengah pihak, termasuk Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggesa satu tinjauan dijalankan badan bebas bagi mengenal pasti calon perdana menteri pilihan orang ramai.

Pada 24 Mei lalu, Invoke Malaysia – badan kaji selidik yang diketuai naib presiden PKR, Rafizi Ramli membentangkan hasil tinjauan menunjukkan Anwar kekal sebagai calon perdana menteri “pilihan pengundi” dengan 23.5% undi, meninggalkan Dr Mahathir (16.5%) dan Muhyiddin (12.6%).

Khamis lalu, Dr Mahathir mengulangi pendiriannya tidak berminat memegang jawatan nombor 1 negara yang pernah disandangnya selama 22 tahun, selain perlu mengambil kira rakan kongsi lain dalam Pakatan Harapan, gabungan PPBM dengan PKR, DAP dan Amanah.

“Setelah saya bersara, saya tak akan jadi perdana menteri lagi. Saya tak boleh belakangkan kawan-kawan dalam PH, kalau mereka mempunyai cadangan begitu, mungkin saya terpaksa menimbang,” katanya menjawab soalan pengguna Facebook pada sesi “live” bersama Syed Saddiq.

Mengulas lanjut, Amar berkata, pembangkang sepatutnya lebih fokus terhadap usaha menjatuhkan BN, bukannya membincangkan calon perdana menteri.

“Ini memandangkan perkara seumpama ini menimbulkan perbalahan meletakkan satu mesej yang tidak baik kepada rakyat.”

Mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri ekoran Adun BN, Datuk Mat Yusoff Abd Ghani diisytiharkan muflis, Amar berkata, PAS sedia bertanding jika pilihan raya kecil diadakan.

“Berdasarkan Perlembagaan dan peraturan, tidak ada pilihan raya kecil sebab ia sudah melebihi 3 tahun. Namun jika ada sekalipun, kita sedia bertanding.

“Jadi, keputusan bergantung kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk menentukannya dan kita hanya mampu tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya.”

 



Comments
Loading...