Di bawah Dr Mahathir dulu, rakyat bangga, kata Kit Siang
Pemimpin veteran yang pernah dipenjarakan di bawah ISA ketika pentadbiran Dr Mahathir berkata walaupun banyak tidak dipersetujui, rakyat ketika itu masih bangga dengan nama Malaysia.
(FMT) – Lim Kit Siang berkata walaupun beliau pengkritik kuat Tun Dr Mahathir Mohamad dulu, Malaysia semasa 22 tahun pentadbirannya berada pada tahap lebih membanggakan berbanding sekarang.
“Kita tidak boleh menafikan yang ketika zaman Mahathir, rakyat Malaysia berbangga di seluruh dunia, dan ia amat berbeza dengan sekarang, di mana rakyat Malaysia apabila berada di luar negara malu mengaku mereka warga Malaysia kerana bimbang diejek berasal daripada negara yang menjadi ‘kleptokrasi global’,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu pada majlis dialog di Muar, semalam.
Kleptokrasi, iaitu pentadbiran oleh golongan yang merompak harta negara, merupakan istilah digunakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam laporannya tahun lalu berhubung siasatan mengenai tuduhan kecurian wang 1MDB.
Lim, yang pernah ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di bawah pentadbiran Dr Mahathir berkata tidak semua yang dilakukan bekas perdana menteri itu betul, “tetapi di zaman Mahathir, ada semangat Malaysia Boleh”, katanya merujuk slogan yang kerap digunakan ketika itu.
“Semangat ‘berani cuba dan boleh’ itu tiada lagi di Malaysia. Tetapi ia kini wujud di China, semangat ‘China boleh’,” katanya yang pernah berperanan sebagai ketua pembangkang Dewan Rakyat.
Lim turut berkata kejatuhan Malaysia dilihat lagi dalam Laporan Daya Saing Dunia (WCY) 2017 oleh Institut Pembangunan Pengurusan, di mana Malaysia jatuh daripada tempat ke-19 kepada 24.
“Ia merupakan ranking terendah Malaysia dalam 5 tahun dan negara tidak boleh selesa yang ia kekal berdaya saing di tempat ke-2 selepas Singapura di kalangan Asean.”