PENGKHIANAT AMANAH RAKYAT
Datuk Abdul Murad Khalid
Jika di kampung kalau ada penduduk kehilangan sebuah motosikal berharga RM2,000 atau RM3,000, pasti akan ada siasatan dan tangkapan dilakukan polis.
Suspek juga akan dihadapkan ke mahkamah. Tetapi mengapa dalam kes melibatkan Bank Negara Malaysia (BNM) kehilangan AS$10 bilion akibat kegiatan perdagangan mata wang dari penghujung 1980-an hingga 1993, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil sehingga sekarang?
Bukan sahaja tiada tangkapan dan pendakwaan di mahkamah, bahkan tidak ada siasatan dibuat oleh polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pelikkan? Padahal yang hilang itu adalah wang rakyat, milik rakyat.
Susulan pendedahan saya bahawa BNM mengalami kerugian lebih tinggi daripada nilai yang dilapor mengikut buku laporan BNM pada 26 Januari 2017, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyelidik kebenaran dakwaan itu.
Memandangkan PPK tidak ada kuasa perundangan dan mereka yang terlibat dalam skandal itu enggan bekerjasama secara efektif, maka pasukan itu mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) agar saksi-saksi yang dipanggil boleh memberikan kerjasama dengan efektif. Ini merupakan satu langkah yang bijak.
Semasa saya mengambil alih jawatan Penolong Gabenor BNM daripada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk selesaikan masalah kerugian yang ditanggung itu, keadaan sudah terlalu teruk dan sudah tidak dapat dipulihkan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Menteri Kewangan pada masa itu mendakwa Nor Mohamed yang bertanggungjawab. Tetapi mengapa bekas Gabenor BNM, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein yang dipersalahkan?
Saya sama sekali tidak percaya Allahyarham yang bertanggungjawab atas kerugian tersebut kerana beliau adalah seorang yang lurus, baik, amat cermat dan tidak sukakan pembaziran. Bagi memberikan keadilan dan membersihkan nama Allahyarham, kebenaran perlu didedahkan.
Disembunyikan
Penubuhan RCI diharap dapat membongkar dan mendedahkan fakta tentang skandal tersebut supaya rakyat tahu apa yang berlaku. Antara persoalan yang perlu dijawab ialah adakah kerugian ini berkaitan isu kalah judi semata-mata atau ada orang yang mengaut keuntungan sama ada secara sengaja atau tidak.
Rakyat perlu diberitahu tentang jumlah sebenar kerugian yang dialami oleh BNM. Siapa yang bertanggungjawab dan adakah terdapat mana-mana pihak membuat keuntungan dalam transaksi tersebut serta kenapa tiada siasatan yang dijalankan?
Lebih RM25 bilion wang simpanan BNM lesap tetapi mengapa hanya diisytiharkan yang hilang cuma RM9 bilion? Apakah yang cuba disembunyikan? Dengan kerugian sebanyak itu, BNM sebenarnya sudah bankrap dan ini bukan akibat kerugian atas kertas sahaja. Kalau pada masa itu rakyat diberitahu bahawa BNM kerugian lebih AS$10 bilion, perdana menteri pada ketika itu (Tun Dr. Mahathir Mohamad) sepatutnya sudah meletakkan jawatan.
Perbuatan tersebut merupakan satu pengkhianatan dan memalukan BNM, negara dan rakyat. Apa yang mengejutkan, tidak ada orang dihukum atas kesalahan membankrapkan BNM. BNM adalah bank pusat di Malaysia dan sebuah institusi yang sangat unggul dan dihormati. Mereka yang membankrapkan BNM adalah pengkhianat dan patut dihukum.
Disebabkan kerugian tersebut, simpanan BNM menyusut kepada AS$20 bilion pada masa itu. BNM kehilangan satu pertiga atau lebih 30 peratus daripada simpanannya. Dari segi segi jumlah keseluruhan pendedahan dagangan pertukaran asing, ia sangat besar iaitu melebihi RM300 bilion, lebih 10 kali ganda daripada jumlah simpanan BNM.
Ini jelas suatu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat kerana mereka memperjudikan wang rakyat. Mengapa kesalahan sebesar ini disembunyikan?
Jika wang AS$10 bilion itu masih ada dan disimpan dengan kadar faedah terkumpul paling minimum sebanyak empat peratus setahun dari 1992 hingga sekarang, nilainya kini sudah melebihi RM100 bilion. BNM sekarang sepatutnya ada tambahan simpanan RM100 bilion jika tidak kerana skandal tersebut.
Kalau mereka yang didakwa terlibat hendak mempertahankan mata wang ringgit, itu boleh diterima kerana itu sememangnya tugas BNM. Tetapi perdagangan tukaran itu tidak ada kena mengena langsung dengan ringgit. Sebaliknya mata wang yang dibeli kebanyakannya adalah dolar AS, pound sterling, yen, mark Jerman, franc Switzerland dan franc Perancis.
Mereka menggunakan pendekatan forward iaitu membeli mata wang dengan tempoh matang. Bagi transaksi yang memberikan keuntungan, mereka ambil untung dan menunjukkan kepada kerajaan bahawa mereka berjaya memperoleh keuntungan besar. Tapi mereka menyembunyikan transaksi yang merugikan dan buat rollover. Kerugian ini tidak direkodkan di mana-mana termasuk dalam akaun BNM.
Kerugian tersebut juga mungkin mempunyai impak terhadap kejatuhan nilai ringgit semasa kegawatan ekonomi pada 1997 dan sehingga sekarang disebabkan kita tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk menstabilkan ringgit. Bagaimanapun dalam memperkatakan isu ini, krisis kewangan 1997 tidak ada kena mengena dengan George Soros kerana seorang individu tidak boleh mempengaruhi pasaran.
Ada pihak mengatakan kes ini sudah lapuk dan sukar untuk disiasat kerana bukti-bukti mungkin sukar diperoleh. Sedangkan realiti dan hakikat sebenarnya, ia masih boleh disiasat dan dibongkar kerana rekod akaun pada masa itu ada di BNM dan Jabatan Audit Negara.
Pendedahan tentang skandal BNM ini tidak wajar dipolitikkan. Ini bukan cerita rekaan tetapi faktanya, BNM sememangnya mengalami kerugian AS$10 bilion.
PENULIS adalah Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.