KE ARAH POLITIK MALAYSIA YANG MATANG (SIRI 4): contoh politik yang matang
DARI SUDUT LAIN
Kita telah menjelaskan pada siri yang lepas, bahawa perlu dibezakan antara parti pemerintah dan juga kerajaan. Kegagalan membezakan kedua ini menyebabkan sesebuah parti pembangkang akan memusuhi sesiapa sahaja yang bekerja untuk kerajaan, termasuk kakitangan yang tidak berparti. Begitu juga, apabila parti pemerintah melihat ahli parti pembangkang bekerja sebagai kakitangan kerajaan adalah satu pengkhianatan. Perkara sebegini tidak wajar berlaku dan ia tidak akan memajukan negara, sebaliknya meletakkan negara dalam permainan politiking sepanjang masa.
Kita boleh melihat contoh politik matang yang diamalkan mutakhir ini. Pertama dalam isu memperkasakan undang-undang syariah melalui Usul Pindaan Akta 355 (RUU355). Walaupun secara umum masyarakat melihat ia adalah hasil usaha PAS kerana dibawa beberapa kali oleh Presidennya ke parlimen, tetapi peranan untuk merealisasikan RUU355 ini sebenarnya dimainkan oleh banyak pihak selepas itu.
Semasa perasmian Mesyuarat Keempat Parlimen ke-13 tahun 2016, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Malaysia dalam titah baginda menyebut tentang pemerkasaan syariah ini. Dalam perasmian Mesyuarat kelima Parlimen tahun 2017 pula, sekali lagi YDP Agong menyebut perkara yang serupa. Peristiwa ini menandakan isu RUU355 yang diperjuangkan PAS tidak dilihat sebagai agenda politik sebaliknya satu urusan agama.
Begitu juga sikapnya dengan parti UMNO. Mereka begitu beriya-iya mahu melihat RUU355 diluluskan. Beberapa kali perkara tersebut disentuh oleh Presiden, pemimpin lain dan juga perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Walaupun mereka tidak berjaya membawa usul tersebut atas nama kerajaan kerana ditentang komponen lain dalam BN, tetapi mereka telah berjaya mengenepikan perbezaan politik dalam mengurus isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat.
http://www.astroawani.com/berita-politik/lapor-langsung-jangan-politikkan-ruu355-najib-124361
PAS sepatutnya berterima kasih dengan beberapa pemimpin UMNO yang terlibat memberi laluan mudah untuk PAS membawa RUU355 hingga ke peringkat ini. Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan juga Menteri Hal Ehwal Parlimen, Dato Azalina Othman antara yang berperanan menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan dengan cara yang sepatutnya walaupun ia dilihat seperti membantu agenda PAS. Suasana ini mungkin tidak terlihat sebelum ini sejak Malaysia merdeka. Inilah contoh sebuah kematangan berpolitik.
http://www.sinarharian.com.my/nasional/mp-islam-tiada-sebab-tolak-ruu-355-1.559318
Kedua, kita boleh melihat kematangan berpolitik dalam isu membantu etnik Rohingya. Bermula dari perbincangan antara PAS, NGOs dan agensi kerajaan, membawa kepada penganjuran program bersama memupuk kesedaran rakyat, hinggalah kepada kemuncaknya iaitu perlepasan misi kemanusiaan Food Flotila For Myanmar, dianggotai oleh berbagai agensi termasuk NGOs proksi PAS dan juga UMNO. Pemimpin kedua parti itu tidak segan silu berada sekali di pentas sewaktu uparacara perlepasan kapal tersebut. Ahli-ahli kedua parti itu juga tidak segan silu berlayar bersama menongkah perjalanan kira-kira sebulan lamanya.
http://www.sinarharian.com.my/nasional/rohingya-bukti-umno-pas-boleh-kerjasama-1.594375
Kesan toleransi antara kedua parti terbesar tanahair ini telah membawa Malaysia di mata dunia khususnya di peringkat Asia Tenggara sebagai gergasi kemanusiaan. Ia juga telah menyebabkan kerajaan Myanmar memberhentikan operasi ketenteraan mereka di Arakan, dan pemimpin demokrasi mereka Aun San Suu Kyi berjanji akan menyelesaikan konflik ini. Sehingga kini masih belum kedengaran sebarang keganasan terbaru daripada pihak tentera atau pelampau Buddha terhadap saudara kita di sana.
http://berita.rtm.gov.my/index.php/lifestyle/13460-tentera-myamar-hentikan-operasi-di-rakhine
Kita juga boleh melihat beberapa pertubuhan bukan politik begitu selesa menghulurkan bantuan dan memberikan sokongan terhadap dua usaha di atas. Perkembangan ini juga satu petanda baik untuk masa depan Malaysia apabila wujud kesatuan antara komponen-komponen yang pelbagai di Malaysia, atas satu matlamat yang jelas, bukan berasaskan sentimen ataupun kepentingan tertentu.
http://m.harakahdaily.net.my/index.php/berita-utama/44400-deklarasi-food-flotilla-for-myanmar-2017
Sebenarnya banyak keuntungan yang boleh diperoleh sekiranya politik matang diamalkan di Malaysia. Jika kedua contoh di atas lebih melibatkan soal agama, mungkin selepas ini kerjasama antara UMNO sebagai peneraju kerajaan dan PAS boleh diperluaskan bagi menyelesaikan banyak lagi permasalahan negara dalam aspek pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain. Walaupun perkara ini seperti tidak disenangi parti-parti lain samada rakan komponen BN mahupun parti dalam PH, tetapi ia bukanlah satu isu besar kerana matlamat menjaga kepentingan agama, negara dan rakyat adalah lebih utama.