SUARA RAKYAT ATAU SUARA PENENTANG ISLAM


(Roslan Sms) – Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang melibatkan pindaan terhadap 33 fasal di dalam enakmen itu sebagai langkah persediaan kiranya RUU355 lulus sebagai satu undang-undang di Parlimen.

Ianya diluluskan sebulat suara oleh ahli-ahli dewan yang hadir termasuk wakil-wakil BN.

Pindaan berkenaan antara lain membolehkan hukuman sebat secara Islam dilaksanakan terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka, membenarkan vi­deo digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan selain pesalah dihukum dengan menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat.

Yang penting ianya diluluskan menjadi undang-undang melalui proses demokrasi bukannya secara yang bertentangan undang-undang.

Ia masuk, diusulkan oleh kerajaan dibentang dan dibahas oleh wakil-wakil rakyat Kelantan yang dipilih rakyat dan wakil-wakil ini kemudiannya mengundi meluluskannya sebulat suara.

Bermakna ini kehendak dan kemahuan rakyat Kelantan disuarakan oleh wakil-wakil mereka di dewan menepati proses demokrasi yang diiktiraf dan diamalkan dalam negara.

Sebarang suara yang menentang dan mengkritik dari luar sebenarnya menentang proses demokrasi dan mengkhianati perlembagaan dan kedaulatan undang-undang termasuklah Tuanku Sultan yang merupakan sebahagian dari institusi Dewan di negeri-negeri sebagaimana Yang Dipertuan Agong di Parlimen.

Tajuk depan akhbar The Star hari ini memilih untuk melawan arus, menentang suara rakyat, menentang proses demokrasi dan cuba mencetuskan “Islamphobia” iaitu kebencian terhadap usaha memartabatkan Islam dikalangan rakyat dan penganut yang beragama Islam.

Dalam Dewan Kelantan dengan terang dan jelas disebut sebagaimana dilaporkan sendiri akhbar berkenaan:

“Punishment not applicable to non Muslims”

(Hukuman (ini) tidak terpakai ke atas yang bukan Islam).

Lalu kenapa The Star mahu menggambarkan seolah pindaan ini sesuatu yang membimbang dan menakutkan jika tidak akhbar ini bermaksud mahu menentang Islam.

Dipinjamlah suara-suara para penentang termasuklah Zaid Ibrahim DAP, MCA, Gerakan, Dr Chandra Muzaffar, G25 dan lain-lain.

Menurut EXCO Kelantan Mumtaz Md Nawi, seorang peguam, pindaan ini sebagai satu langkah pencegahan iaitu usaha untuk melindungi rakyat Kelantan. Derafnya telah diluluskan Pejabat Mufti Kelantan terlebih dahulu.

Kalau usaha memartabatkan Islam seumpama ini pun ditentang apalah nasib dan masadepan Islam dalam negara kiranya para penentang ini diberikan kuasa memerintah!

Pertahankan Islam dan bangkitlah melahirkan Malaysia yang “Sejahtera Bersama Islam”.

 



Comments
Loading...