DAP ada ‘exit plan’, kata PAS
(Antara Post) – Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki berpendapat DAP sengaja ‘dipinggirkan’ dalam senarai kepimpinan teratas Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan ada agenda tersendiri.
Berkata kepada Antarapos, beliau percaya DAP akan mengatur strategi tertentu jika gabungan pembangkang itu sekali lagi tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
“Dengan cuba menyembunyikan peranan DAP, sebab saya nampak DAP kini disembunyikan agar tak nampak dominan. Apabila ini terjadi, ia merupakan satu langkah yang akan memudahkan DAP untuk ‘exit plan’ daripada PH jika PH kalah,” katanya.
Zuhdi dalam pada itu mendakwa, timbul kemungkinan parti pimpinan Lim Kit Siang itu akan menyertai Barisan Nasional (BN), menggantikan MCA sebagai langkah terdesak untuk mengisi kepentingan politik parti itu.
Untuk rekod, MCA mencatatkan prestasi buruk pada dua pilihan raya umum sebelum ini selepas rata-rata pengundi kaum Cina lebih memihak kepada DAP dan PKR.
“Saya nampak DAP akan melompat ke BN, akan keluar dari PH dan menyertai kerajaan. Kemungkinan bergabung dengan Umno tak boleh ditolak.
“Boleh jadi, sebab ia tidak ada yang mustahil. Berdasarkan maklumat yang saya terima, komuniti kaum Tionghua sudah beri DAP dua kali (kemenangan) pilihan raya, dan menyebabkan mereka (kaum Tionghua) rugi dalam pilihan raya sebab mereka tak mempunyai menteri kabinet dalam kerajaan.
“Mereka dan beri ‘hint’ kepada DAP supaya menang, jika tidak mereka kena masuk BN. Dan ini adalah ramalan saya, jika PH kalah namun DAP dapat jumlah kerusi besar, tak mustahil mereka bergabung dengan BN untuk menggantikan MCA,” ujarnya lagi.
Dalam senarai kepimpinan PH yang diumumkan dua hari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dinamakan sebagai Pengerusi PH dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Ketua Umum, jawatan yang sama disandang beliau dalam PKR.
Ketua Pembangkang yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dilantik sebagai presiden gabungan empat parti pembangkang itu.
DAP pula hanya diwakili Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang dilantik sebagai timbalan presiden PH, sementara naib presiden DAP dari Sarawak, Chong Chieng Jen, dinamakan sebagai naib presiden PH.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang bagaimanapun tidak dinamakan untuk mana-mana jawatan yang lain.
Semalam Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak dalam reaksinya berpendapat, ketiadaan wakil DAP dalam tiga kedudukan teratas itu seolah-olah memperlihatkan sama ada DAP telah dipinggirkan oleh PH atau ia sebenarnya strategi supaya pakatan itu dilihat didominasi oleh pemimpin Melayu.