Dr M dulu tak pernah hadir forum pembangkang, pegawai Najib jawab cabaran


(FMT) – Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri tidak pernah menghadiri sebarang forum terbuka anjuran pembangkang, kata pembantu khas kepada Datuk Seri Najib Razak, menjawab cabaran pengerusi Pakatan Harapan itu semalam.

“Bukan sahaja beliau tidak pernah hadir forum pembangkang, malah untuk pembangkang berforum dan berceramah sesama mereka pun banyak yang Dr Mahathir susahkan atau haramkan. Malah kerana ada pembangkang yang terlalu degil, mereka akan ditangkap atau ditahan di bawah ISA,” kata Datuk Rizal Mansor.

Beliau berkata Dr Mahathir perlu “cermin diri” dan menjawab sama ada beliau mengamalkan sikap terbuka ketika menjadi perdana menteri dulu.

Rizal berkata tuduhan Dr Mahathir terhadap Najib sama seperti tuduhan pembangkang terhadapnya dulu.

“Itulah hukum karma namanya,” kata beliau kepada FMT.

“Sepatutnya lihat dulu apa yang dilakukan di era pentadbirannya sebagai perdana menteri sebelum mencari salah orang lain,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir menggesa perdana menteri menghadiri forum “Nothing to Hide 2.0″, yang dianjurkan Pemuda PPBM pada 13 Ogos di Shah Alam.

“Jangan jadi macam forum ‘Nothing to Hide’, apabila dia tak hadir kononnya sebab tunjuk perasaan, tetapi sebenarnya tidak ada pun,” katanya merujuk sebuah forum yang menjemput Najib tetapi dibatalkan pada saat akhir oleh polis atas alasan keselamatan.

Forum pada 2015 itu dihadiri Dr Mahathir.

Semalam, Dr Mahathir berkata Najib boleh menyoalnya mengenai pelbagai dakwaan.

“Kami boleh jawab semua dakwaan yang dibuat terhadap saya. Saya rasa ini platform terbaik untuk memberitahu perkara sebenar. Najib juga perlu hadir, dan jawab soalan atau lempar dakwaan terhadap saya,” katanya.

 



Comments
Loading...