HARAPAN Masih Perlukan Anwar Sebagai Pemimpin – Penganalisis


(Malaysian Access) – Pakatan Harapan (PH) masih memerlukan khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin untuk memastikan sokongan rakyat terutama golongan reformasi kekal dalam arus politik perdana negara.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian bagaimanapun berkata, PH perlu menerangkan dengan lebih jelas perbezaan fungsi ketua umum, pengerusi dan presiden gabungan itu.

Jelasnya terdapat pertembungan personaliti dalam ketiga-tiga jawatan di dalam PH itu yang menimbulkan kegusaran rakyat.

“Kedudukan ketua umum masih lagi untuk membuat keputusan dan berikan arahan, manakala pengerusi berfungsi untuk menetapkan, mencari platform atau landasan bagi perjalanan perbincangan, diskusi serta sumbang saran dalam PH.

“Presiden pula memainkan peranan dalam melaksanakan serta menggerakkan perjalanan PH. Kita juga harus melihat kedudukan dewan presiden, iaitu badan tertinggi dalam PH, di mana ketuanya ialah Datuk Seri Wan Azizah.

“Baru-baru ini wujud dilema tentang mengapakah mesyuarat dipengerusikan oleh pengerusi dan bukan oleh presiden di bawah dewan presiden yang berperanan sebagai dewan harian atau yang menentukan perjalanan harian PH itu sendiri.

Dalam konteks ini, jika tidak wujud penjelasan yg lebih jitu dan meyakinkan maka akan wujudlah persepsi secara berterusan ke atas PH,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 



Comments
Loading...