ANALISA PEMILIHAN PEMIMPIN DAP: DR TAN SENG GIAW TERSINGKIR SEBAB HUDUD?


Dr Kamarul Zaman Yusoff

Melihat kemelut yang berlaku di dalam arahan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang dibuat secara rasmi oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Datuk Mohammad Razin Abdullah, di dalam surat beliau kepada DAP pada 17 Julai dan yang dipersetujui oleh DAP, melalui Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP bagi sesi 2008 – 2012, iaitu Teresa Kok Suh Sim, di dalam surat beliau kepada ROS semalam, 21 Julai, saya tertarik untuk meneliti apa yang berlaku di dalam pemilihan-pemilihan DAP sebelum ini.

Apatah lagi bila pemilihan-pemilihan DAP sebelum ini telah disensasikan oleh banyak pihak, khususnya oleh blogger terkenal, Raja Petra Kamarudin (RPK), yang beberapa kali menulis mengenainya di dalam portal berita Malaysia Today.

Di dalam dua rencana yang disiarkan pada 1 April lalu, bertajuk “How Kit Siang Cheated To Stay In Power In DAP” dan “Why Kit Siang Killed Tan Seng Giaw”, selain satu rencana yang disiarkan pada 4 April lalu, bertajuk “Kit Siang Has To Cheat For Survival”, RPK telah di antara lainnya menuduh Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mengarahkan Anthony Loke Siew Fook, Vincent Wu Wu Him Ven dan Chong Chieng Jen menipu bagi memastikan Dr Tan Seng Giaw tersingkir, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mendapat tempat pertama dan tempat kedua, manakala mereka yang didakwa musuh-musuh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, iaitu Datuk Teng Chang Khim, Nga Kor Ming, Datuk Ngeh Koo Ham, Chow Kon Yeow dan Dr Boo Cheng Hau, mendapat tempat rendah, di dalam pemilihan DAP yang dilangsungkan pada 15 Disember 2012.

Mengikut RPK, ini adalah lanjutan daripada arahan Lim Kit Siang kepada Anthony Loke Siew Fook pada bulan Ogos 2012 supaya menyelidik tahap kepopularan Dr Tan Seng Giaw di kalangan ahli di peringkat akar umbi yang mendapati bahawa Dr Tan Seng Giaw akan mendapat undian tertinggi. Dakwa RPK, jika penipuan tidak berlaku, Dr Tan Seng Giaw, yang tersingkir, akan mendapat tempat pertama (1,955 undi), Datuk Teng Chang Khim, yang mendapat tempat kesembilan, akan mendapat tempat kedua (1,905 undi), Nga Kor Ming, yang mendapat tempat kesebelas, akan mendapat 1,828 undi (tidak dinyatakan tempat keberapa), Chow Kon Yeow, yang mendapat tempat ketiga belas, akan mendapat 1,739 undi (tidak dinyatakan tempat keberapa), Dr Boo Cheng Hau, yang mendapat tempat keenam belas, akan mendapat 1,711 undi (tidak dinyatakan tempat keberapa) dan Datuk Ngeh Koo Ham, yang mendapat tempat kesembilan belas, akan mendapat 1,577 undi (tidak dinyatakan tempat keberapa). Lim Kit Siang, yang mendapat tempat pertama, didakwa akan mendapat tempat ketujuh belas (1,060 undi) manakala Lim Guan Eng, yang mendapat tempat kedua, didakwa akan mendapat tempat kelapan belas (1,029 undi).

Data-data dari rekod rasmi DAP adalah seperti di bawah.

KEPUTUSAN PEMILIHAN CEC DAP PADA 23 OGOS 2008

1. Lim Kit Siang: 624 undi
2. Lim Guan Eng: 620 undi
3. Tan Kok Wai: 571 undi
4. Fong Kui Lun: 504 undi
5. M Kula Segaran: 500 undi
6. Teresa Kok Suh Sim: 495 undi
7. Dr Tan Seng Giaw: 492 undi
8. Chong Chieng Jen: 476 undi
9. Karpal Singh: 471 undi
10. Datuk Ngeh Koo Ham: 455 undi
11. Anthony Loke Siew Fook: 452 undi
12. Ahmad Ton: 448 undi
13. Tony Pua Kiam Wee: 446 undi
14. Chong Eng: 434 undi
15. Datuk Teng Chang Khim: 417 undi
16. Ngar Kor Ming: 417 undi
17. Chow Kon Yeow: 410 undi
18. P Ramasamy: 340 undi
19. Dr Boo Cheng Hau: 332 undi
20. Gobind Singh Deo: 305 undi

KEPUTUSAN PEMILIHAN CEC DAP PADA 15 DISEMBER 2012 (SEBELUM DIPERBETULKAN KESILAPAN TEKNIKALNYA OLEH PEGAWAI PEMILIH CEC DAP, POOI WENG KEONG, PADA 4 JANUARI 2013)

1. Lim Kit Siang: 1607 undi
2. Lim Guan Eng: 1576 undi
3. Karpal Singh: 1411 undi
4. Chong Chieng Jen: 1211 undi
5. Anthony Loke Siew Fook: 1202 undi
6. Vincent Wu Him Ven: 1202 undi
7. Tan Kok Wai: 1199 undi
8. Gobind Singh Deo: 1197 undi
9. Tony Pua Kiam Wee: 1162 undi
10. Datuk Teng Chang Khim: 1152 undi
11. Fong Kui Lun: 1137 undi
12. Nga Kor Ming: 1075 undi
13. Chong Eng: 1006 undi
14. Chow Kon Yeow: 986 undi
15. Liew Chin Tong: 984 undi
16. M Kula Segaran: 984 undi
17. Dr Boo Cheng Hau: 958 undi
18. Teresa Kok Suh Sim: 925 undi
19. Teo Nie Ching: 903 undi
20. Datuk Ngeh Koo Ham: 824 undi

KEPUTUSAN PEMILIHAN CEC DAP PADA 15 DISEMBER 2012 (SETELAH DIPERBETULKAN KESILAPAN TEKNIKALNYA OLEH PEGAWAI PEMILIH CEC DAP, POOI WENG KEONG, PADA 4 JANUARI 2013)

1. Lim Kit Siang: 1607 undi
2. Lim Guan Eng: 1576 undi
3. Karpal Singh: 1411 undi
4. Chong Chieng Jen: 1211 undi
5. Anthony Loke Siew Fook: 1202 undi
6. Tan Kok Wai: 1199 undi
7. Gobind Singh Deo: 1197 undi
8. Tony Pua Kiam Wee: 1162 undi
9. Datuk Teng Chang Khim: 1152 undi
10. Fong Kui Lun: 1137 undi
11. Nga Kor Ming: 1075 undi
12. Chong Eng: 1006 undi
13. Chow Kon Yeow: 986 undi
14. Liew Chin Tong: 984 undi
15. M Kula Segaran: 984 undi
16. Dr Boo Cheng Hau: 958 undi
17. Teresa Kok Suh Sim: 925 undi
18. Teo Nie Ching: 903 undi
19. Datuk Ngeh Koo Ham: 824 undi
20. Zairil Khir Johari: 803 undi

KEPUTUSAN PEMILIHAN CEC DAP PADA 29 SEPTEMBER 2013

1. Liew Chin Tong: 1438 undi
2. Lim Kit Siang: 1436 undi
3. Karpal Singh: 1421 undi
4. Gobind Singh Deo: 1409 undi
5. Lim Guan Eng: 1304 undi
6. Chong Chieng Jen: 1294 undi
7. Anthony Loke Siew Fook: 1263 undi
8. Chow Kon Yeow: 1203 undi
9. Fong Kui Lun: 1193 undi
10. Datuk Teng Chang Khim: 1164 undi
11. Tony Pua Kiam Wee: 1158 undi
12. Zairil Khir Johari: 1132 undi
13. Teresa Kok Suh Sim: 1127 undi
14. Chong Eng: 1111 undi
15. M Kula Segaran: 1088 undi
16. Tan Kok Wai: 1088 undi
17. Teo Nie Ching: 1081 undi
18. Dr Boo Cheng Hau: 961 undi
19. Nga Kor Ming: 956 undi
20. Datuk Ngeh Koo Ham: 809 undi

Penelitian lebih spesifik ke atas keputusan-keputusan pemilihan CEC DAP pada 23 Ogos 2008, 15 Disember 2012 dan 29 September 2013 ini mendapati wujudnya empat pola.

Pola pertama ialah penyingkiran terus tokoh-tokoh tertentu dari CEC DAP membabitkan:

1. Dr Tan Seng Giaw yang mendapat tempat ketujuh pada 2008 (492 undi) tetapi terus tidak terpilih pada 2012 dan kekal tidak terpilih pada 2013.

2. Ahmad Ton yang mendapat tempat kedua belas pada 2008 (448 undi) tetapi terus tidak terpilih pada 2012 dan kekal tidak terpilih pada 2013.

3. P Ramasamy yang mendapat tempat kelapan belas pada 2008 (340 undi) tetapi terus tidak terpilih pada 2012 dan kekal tidak terpilih pada 2013.

Pola kedua ialah penaikan yang diikuti penurunan tokoh-tokoh tertentu dari CEC DAP membabitkan:

1. Chong Chieng Jen yang mendapat tempat kelapan pada 2008 (476 undi) dan naik ke tempat keempat pada 2012 (1211 undi) tetapi turun ke tempat keenam pada 2013 (1294 undi).

2. Anthony Loke Siew Fook yang mendapat tempat kesebelas pada 2008 (452 undi) dan naik ke tempat kelima pada 2012 (1202 undi) tetapi turun ke tempat ketujuh pada 2013 (1263 undi).

3. Tony Pua Kiam Wee yang mendapat tempat ketiga belas pada 2008 (446 undi) dan naik ke tempat kelapan pada 2012 (1162 undi) tetapi turun ke tempat kesebelas pada 2013 (1158 undi).

4. Chong Eng yang mendapat tempat keempat belas pada 2008 (434 undi) dan naik ke tempat kedua belas pada 2012 (1006 undi) tetapi turun ke tempat keempat belas pada 2013 (1111 undi).

5. Datuk Teng Chang Khim yang mendapat tempat kelima belas pada 2008 (417 undi) dan naik ke tempat kesembilan pada 2012 (1152 undi) tetapi turun ke tempat kesepuluh pada 2013 (1164 undi).

6. Ngar Kor Ming yang mendapat tempat keenam belas pada 2008 (417 undi) dan naik ke tempat kesebelas pada 2012 (1075 undi) tetapi turun ke tempat kesembilan belas pada 2013 (956 undi).

7. Dr Boo Cheng Hau yang mendapat tempat kesembilan belas pada 2008 (332 undi) dan naik ke tempat keenam belas pada 2012 (958 undi) tetapi turun ke tempat kelapan belas pada 2013 (961 undi).

Pola ketiga ialah penurunan berterusan tokoh-tokoh tertentu dari CEC DAP membabitkan:

1. Lim Kit Siang yang mendapat tempat pertama pada 2008 (624 undi) dan kekal di tempat pertama pada 2012 (1607 undi) tetapi turun ke tempat kedua pada 2013 (1436 undi).

2. Lim Guan Eng yang mendapat tempat kedua pada 2008 (620 undi) dan kekal di tempat kedua pada 2012 (1576 undi) tetapi turun ke tempat kelima pada 2013 (1304 undi).

3. Tan Kok Wai yang mendapat tempat ketiga pada 2008 (571 undi) tetapi turun ke tempat keenam pada 2012 (1199 undi) dan turun ke tempat keenam belas pada 2013 (1088 undi).

4. M Kula Segaran yang mendapat tempat kelima pada 2008 (500 undi) tetapi turun ke tempat kelima belas pada 2012 (984 undi) dan kekal di tempat kelima belas pada 2013 (1088 undi).

5. Datuk Ngeh Koo Ham yang mendapat tempat kesepuluh pada 2008 (455 undi) tetapi turun ke tempat kesembilan belas pada 2012 (824 undi) dan turun ke tempat kedua puluh pada 2013 (809 undi).

Pola keempat ialah penurunan yang diikuti penaikan tokoh-tokoh tertentu dari CEC DAP membabitkan:

1. Fong Kui Lun yang mendapat tempat keempat pada 2008 (504 undi) tetapi turun ke tempat kesepuluh pada 2012 (1137 undi) dan naik ke tempat kesembilan pada 2013 (1193 undi).

2. Teresa Kok Suh Sim yang mendapat tempat keenam pada 2008 (495 undi) tetapi turun ke tempat ketujuh belas pada 2012 (925 undi) dan naik ke tempat ketiga belas pada 2013 (1127 undi).

Pola kelima ialah penaikan berterusan tokoh-tokoh tertentu dari CEC DAP membabitkan:

1. Karpal Singh yang mendapat tempat kesembilan pada 2008 (471 undi), naik ke tempat ketiga pada 2012 (1411 undi) dan kekal di tempat ketiga pada 2013 (1421 undi).

2. Chow Kon Yeow yang mendapat tempat ketujuh belas pada 2008 (410 undi), naik ke tempat ketiga belas pada 2012 (986 undi) dan naik ke tempat kelapan pada 2013 (1203 undi).

3. Gobind Singh Deo yang mendapat tempat kedua puluh pada 2008 (305 undi), naik ke tempat ketujuh pada 2012 (1197 undi) dan naik ke tempat keempat pada 2013 (1409 undi).

4. Liew Chin Tong yang langsung tidak terpilih pada 2008 tetapi mendapat tempat keempat belas pada 2012 (984 undi) dan naik ke tempat pertama pada 2013 (1438 undi).

5. Teo Nie Ching yang langsung tidak terpilih pada 2008 tetapi mendapat tempat kelapan belas pada 2012 (903 undi) dan naik ke tempat ketujuh belas pada 2013 (1081 undi).

6. Zairil Khir Johari yang langsung tidak terpilih pada 2008 tetapi mendapat tempat kedua puluh pada 2012 (803 undi) dan naik ke tempat kedua belas pada 2013 (1132 undi).

Berbalik kepada tuduhan RPK bahawa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng menipu bagi memastikan Dr Tan Seng Giaw tersingkir, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mendapat tempat pertama dan tempat kedua, manakala mereka yang didakwa musuh-musuh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, iaitu Datuk Teng Chang Khim, Nga Kor Ming, Datuk Ngeh Koo Ham, Chow Kon Yeow dan Dr Boo Cheng Hau, mendapat tempat rendah, di dalam pemilihan DAP yang dilangsungkan pada 15 Disember 2012, saya tidak tahu bagaimana RPK boleh membuat tuduhan yang begitu terperinci dan, disebabkan saya sendiri tidak mempunyai maklumat yang beliau dedahkan tersebut maka saya sendiri tidak berani untuk mengesah atau menafikan tuduhan beliau itu.

Bagaimanapun, saya sendiri pernah terfikir lama sebelum ini mengenai kemungkinan Dr Tan Seng Giaw disingkirkan dari CEC, dan seterusnya dari jawatan Timbalan Pengerusi DAP yang disandang oleh beliau sebelumnya, pada pemilihan CEC DAP pada 15 Disember 2012 dan 29 September 2013 ini melalui cara-cara yang mungkin tidak begitu sihat.

Pada hemat saya, ada kemungkinan penyingkiran Dr Tan Seng Giaw dari CEC, dan seterusnya dari jawatan Timbalan Pengerusi DAP yang disandang oleh beliau sebelumnya, pada pemilihan CEC DAP pada 15 Disember 2012 dan 29 September 2013 ini mempunyai perkaitan dengan pendirian sederhana beliau di dalam pelbagai perkara, khususnya di dalam perkara-perkara yang menyentuh soal Melayu Islam.

Antara yang paling jelas adalah kenyataan Dr Tan Seng Giaw di dalam portal berita Sinar Harian Online pada 21 Ogos 2012 bertajuk “Seng Giaw Nasihat Pemimpin PR Hormat Satu Sama Lain” yang menyebut bahawa “pemimpin-pemimpin politik sewajarnya peka dengan sensitiviti agama supaya tidak menimbulkan perasaan tidak selesa di kalangan rakyat berbeza agama dan kaum” dan “bahawa isu berkaitan dengan agama setiap kaum tidak perlu dicampur oleh kaum lain dan sebolehnya biar penganut itu sendiri menyelesaikannya”. Secara lebih spesifiknya, beliau dipetik sebagai berkata, “Kita tak perlu nak masuk campur dalam isu agama lain yang akan beri kesan… sensitiviti pada kaum itu” dan “Saya sendiri tak mahu sentuh isu seperti hudud kerana saya tahu itu akan menimbulkan rasa tidak senang kepada kaum lain”.

Apa pun, bagi saya, keputusan-keputusan pemilihan CEC DAP pada 23 Ogos 2008, 15 Disember 2012 dan 29 September 2013 ini adalah bukti yang sangat jelas bahawa DAP memang bukan sebuah parti yang mesra Melayu Islam kerana pada ketiga-tiga pemilihan ini hanya seorang sahaja calon Melayu yang bertanding menang. Di dalam pemilihan CEC DAP pada 15 Disember 2012 umpamanya, calon Melayu liberal yang berpendidikan tinggi, dan merupakan Ahli Dewan Negara, seperti Dr Ariffin Omar sekalipun ditolak oleh para perwakilan dengan hanya mendapat 348 undi sahaja.

 



Comments
Loading...