KENAPA SEHINGGA SANGGUP BERBAIK DENGAN ANWAR?
(SIRI 4) BOLEHKAH MAHATHIR DIPERCAYAI?
DARI SUDUT LAIN
Bagi mereka yang hidup di zaman sebelum dan selepas Era Reformasi, pasti mengetahui tentang perselisihan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dengan bekas Timbalannya, Dato Seri Anwar Ibrahim. Kemunculan parti PKR (dahulu PKN) amat berkait rapat dengan peristiwa pemecatan Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, kerana didakwa mengancam kedudukan Mahathir sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri masa itu. Sejak itu, PKR menjadi wadah seterusnya bagi Anwar untuk mencapai matlamat politiknya menguasai Malaysia.
Mahathir pula sejak peristiwa itu dijadikan musuh utama Anwar dan PKR. Seluruh jentera dan kekuatan PKR dihalakan kepada menyerang batang tubuh Mahathir dan segala legasinya. Serangan berbentuk ucapan, tulisan, lakonan video, lakaran kartun dan alunan lagu digunakan secara maksimum bagi menjatuhkan Mahathir.
Mahathir juga menggunakan kuasanya dengan cukup hebat ke atas Anwar. Anwar bukan sahaja dipecat, malah dituduh dengan tuduhan salah guna kuasa, didapati bersalah atas tuduhan liwat, dihumban ke penjara, dibelasah hingga lebam matanya dan semua pihak yang menyebelahinya disingkir termasuk di’ISA’kan. Tatkala itulah kedengaran laungan Maha Firaun, Maha Zalim dan seumpamanya.
Tetapi hari ini kita melihat keadaan tersebut amat berbeza sama sekali. Mereka yang dahulu menjadi seteru ketat kini menjadi sekutu rapat. Mereka bersama secara rasmi dalam Pakatan Harapan, dengan Mahathir sebagai Pengerusi dan Anwar pula sebagai Ketua Umum. Pengikut Anwar dalam PKR dan PAN kini tidak lagi membenci Mahathir. Mereka mampu hidup harmoni seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa sengketa sebelum ini.
Mahathir juga membela Anwar yang kini sedang menjalani hukuman di penjara atas tuduhan liwat. Beliau mendakwa hukuman ke atas Anwar sebagai mangsa dendam politik dan diperlakukan secara tidak adil. Beliau seolah-olah lupa bahawa pada zamannya dahulu, Anwar dipenjara atas tuduhan yang sama. Malah banyak pihak mendakwa, beliau turut berperanan di sebalik kes liwat Anwar yang kedua. Namun beliau tidak pernah menyebut Anwar sebagai mangsa dendam politik dan kezaliman ketika keputusan memenjarakan Anwar sebelum ini.
Apa yang dipertikaikan oleh Mahathir sebagai tidak diperlakukan dengan adil serta dipengaruhi kepentingan politik adalah suatu tuduhan yang sangat berat terhadap Institusi Kehakiman. Jika kenyataan tersebut ditujukan terhadap Institusi Kehakiman di negara lain , contohnya UK, sudah tentu beliau akan dikenakan tindakan atas tuduhan menghina mahkamah.
Ini kerana mengikut fakta kes, Anwar didapati bersalah dengan bukti-bukti yang sangat kukuh. Bukan sahaja pengakuan oleh mangsa iaitu Saiful Bukhari, tetapi juga keputusan ujian DNA terhadap cecair yang dijumpai di dalam dubur Saiful dan di atas tilam. Mengikut undang-undang negara termasuk dalam kes syariah, keputusan forensik termasuk ujian DNA, cap jari dan ketulenan video adalah diterima pakai dalam menyokong sesuatu pertuduhan.
Dalam kes terbaru, Anwar Ibrahim sudah diberi segala ruang untuk membela dirinya, namun tetap disabitkan dengan jenayah itu oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Di kedua-dua mahkamah tertinggi negara itu, keputusan dibuat oleh sejumlah tertentu barisan hakim-hakim paling kanan. Kenyataan Mahathir sebagai tidak adil dan dipengaruhi kuasa politik adalah sangat mengancam kredibiliti kehakiman tanahair. Perkara tersebut tidak wajar dibiarkan begitu sahaja kerana kelak, lebih banyak lagi penghinaan sedemikian rupa boleh dilakukan kepada Institusi Kehakiman. Sudah tentu ia menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
Pendirian PAS dalam isu ini juga tampak berbeza. Ketika masih dalam pertuduhan, Presiden PAS menulis sebuah buku bertajuk Qazaf bermaksud hukuman Islam terhadap pertuduhan seks yang tidak dapat dibuktikan. Beliau konsisten dengan prinsip Islam bahawa seseorang itu tidak bersalah sehinggalah jika dibuktikan sebaliknya. Walaubagaimanapun, selepas mahkamah mendapati bahawa Anwar bersalah, beliau tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah.
Tetapi berbeza dengan Timbalannya, Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, apabila menyambut baik kenyataan Mahathir dengan menyatakan bahawa PAS sudah lama menganggap kes Anwar sebagai konspirasi politik. Pendapat berbeza kemudian dikeluarkan pula oleh Naib Presiden PAS, Dato Mohamad Amar Abdullah, bahawa tindakan Mahathir bersama Anwar adalah bukti bahawa bekas Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja untuk berkuasa, termasuk bersekongkol kembali dengan pelaku liwat.
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/2081-anwar-ibrahim-mangsa-konspirasi-politik
https://m.malaysiakini.com/news/388166
Pendedahan wikileaks berkait dengan kes ini juga perlu diambil kira. Portal tersebut merupakan sumber yang sangat hebat dalam mendedahkan sebarang maklumat bersifat rahsia dan berprofil tinggi, yang mana fakta dibawa sukar untuk dicabar atau dibuktikan sebaliknya. Wikileaks mendedahkan mengikut maklumat risikan Australia dan Singapura bahawa memang benar Anwar melakukan perlakuan liwat itu.
Pandangan tersebut kemudian disokong oleh bekas Presiden Singapura, mendiang Lee Kuan Yew. Beliau berpendapat bahawa Anwar telah masuk ke dalam perangkap yang sengaja dipasang oleh musuh politiknya. Perangkap yang dimaksudkan adalah dengan mendampingkan Anwar dengan individu-individu yang mampu menaikkan nafsunya sehingga terjebak dalam perlakuan mengaibkan itu yang telah dirancang rapi. Perangkap sebegini biasa dipasang terhadap tokoh-tokoh utama masyarakat dan politikus untuk menjatuhkan imej mereka.
https://www.malaysiakini.com/news/150594
Mungkin atas dasar inilah, sehingga kini Mahathir tidak pernah menarik balik segala yang pernah dikatakan kepada Anwar sebelum ini. Beliau juga tidak pernah meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan kepada Anwar. Semuanya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang penafian.
Maka adakah kita masih percaya bahawa Mahathir begitu ikhlas untuk menyelamatkan Malaysia, atau sekadar melunaskan cita-cita politik yang masih belum kesampaian?