Kekal mandat PAS rintis pembentukan negara Islam
(Harakah) – LAUNGAN takbir sebanyak 27 kali yang bergema menggegar Stadium Sultan Muhammad IV menjadi jawapan dan seruan untuk mempertahankan PAS di Kelantan.
Demikian keyakinan dilafazkan Penolong Setiausaha Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), Sheikh Abdul Ghaffar Aziz pada pidato perdana yang diadakan di stadium itu, malam tadi.
Program itu adalah acara kemuncak Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-4 (Rantau Asia) yang melabuhkan tirainya selepas tiga hari aturcara penuh.
Beliau yang juga Pengarah Hubungan Luar Jamaat Islami Pakistan berkata, keupayaan rakyat mengekalkan mandat PAS di negeri itu mampu merintis jalan ke arah pembentukan negara Islam di seluruh dunia.
Bahkan penuh optimis beliau ungkapkan, hingga dapat mencontohi Daulah Islamiah di Madinah al-Munawwarah pada zaman Nabi Muhammad SAW suatu ketika dahulu.
Beliau dalam ucapan penuh semangat itu turut menyampaikan salam dari Ketua KUIS, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi.
“Saya ingin menyampaikan salam dari Pakistan, saya ingin menyampaikan salam dari Sheikh Yusuf al-Qaradhawi, saya menyampaikan dari Afghanistan, Bangladesh dan Kashmir yang dijarah musuh semata-mata berjihad mempertahankan keizzahan agama mereka,” ujarnya yang ternyata kagum dengan hadirin.
Terdahulu, hadirin membaca ikrar mempertahankan pentadbiran Islam di Kelantan seterusnya bertakbir sebanyak 27 kali, simbolik kepada 27 tahun pemerintahan PAS di negeri itu.