PKR JANGAN BISING PAS MAHU LETAK CALON


(Sinar Harian) – PKR tidak perlu bising dengan hasrat Pas mahu meletakkan calon mereka bertanding di kerusi PKR kerana tindak-tanduk PKR sebelum ini menunjukkan PKR sendiri yang tidak menghormati hubungannya dengan Pas.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tambah pula bila Angkatan Muda Keadilan (AMK), sendiri pernah mencabar Pas bertanding di kerusi yang ditandingi PKR.

“Saya tidak faham kenapa Naib Presiden PKR, Tian Chua, boleh menyifatkan tindakan Pas melancarkan jentera pilihan rayanya di Permatang Pauh pada 16 Julai lalu sebagai “satu tindakan provokasi dan angkuh”.

“Sedangkan semua tahu bahawa kerjasama politik antara Pas dan PKR telah terputus secara rasmi selaras dengan keputusan Muktamar Tahunan Pas ke-63 yang diikuti persetujuan Majlis Syura Ulama’ Pas sebelum ini.

“Malah, Muktamar Tahunan Pas itu juga menerima tanpa bahas usul Pas Kawasan Kota Raja dan Kuala Terengganu yang mencadangkan supaya Pas meletakkan calon di semua kerusi yang ditandingi PKR.

“Tian Chua yang aktif dalam PKR Wilayah Persekutuan patut tahu bahawa Perwakilan AMK Wilayah Persekutuan-lah yang mencabar Pas bertanding di kerusi yang ditandingi PKR pada Kongres Nasional AMK 20 Mei lalu,” katanya.

Kamarul Zaman diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, sebelum ini bahawa Pas akan meletakkan calon di semua kawasan lain milik PKR, bukan sahaja di Permatang Pauh.

Tambah penganalisis politik itu, PKR tidak boleh menyalahkan Pas dalam soal ini kerana Pas telah membuka ruang kepada PKR untuk meneruskan kerjasama politik dengannya jika PKR memenuhi syarat tertentu.

“Malangnya, PKR bertegas memilih cara politik lain yang tidak selaras dengan syarat kerjasama politik Pas-PKR menyebabkan hubungan mereka terputus dan kemungkinan ia dipulihkan semula tipis.

“PKR mula bising dengan hasrat Pas mahu bertanding di kerusi PKR kerana mungkin mereka baru sedar hakikat kebergantungan mereka kepada Pas dari segi gerak kerja pilihan raya dan sokongan akar umbi.

“Sepatutnya perkara ini mereka sedari sejak awal lagi, tetapi bila mereka memandang rendah kemampuan Pas serta membuat perkara yang mengguris hati Pas, mereka perlulah bersedia menerima akibatnya,” tegasnya.

 



Comments
Loading...