Suruhanjaya Siasatan Bebas: Kak Wan Di Persimpangan Dilema – Dr Awang


(Perak Today) – Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kini di persimpangan dilema apabila menyatakan persetujuan untuk menubuhkan satu suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat tuduhan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad seandainya mereka memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, jawapan Presiden PKR itu cubaan melindungi diri sekali gus mahu memuaskan desakan dalaman termasuk dari Otai Reformasi.

Jelasnya, Wan Azizah pasti mengambil sikap diplomatik untuk memuaskan hati setiap orang di dalam Pakatan Harapan (PH).

“Wan Azizah, PKR dan DAP sangat memerlukan Tun M bagi berdepan dengan UMNO sebagai senjata akhir mereka selepas beberapa kali sebenarnya usaha percubaan untuk menawan Putrajaya gagal pada 2013 dan 2008.

“Usaha itu gagal tanpa kehadiran orang bekas UMNO (Tun M) yang kontemporari sifatnya sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Rabu, Wan Azizah dilaporkan bersetuju dengan tuntutan aktivis reformasi yang mahu pembangkang menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat pelbagai tuduhan terhadap Dr Mahathir sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pada PRU ke-14.

Wan Azizah berkata, sehingga keputusan PRU diketahui, pakatan pembangkang bersetuju untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai pengerusi bagi gabungan berkenaan.

Awang menjelaskan Wan Azizah dan komponen PH memerlukan sokongan Tun M yang berpengalaman luas dan lebih memahami kelicikan berdepan dengan UMNO.

“Tun M tahu kelemahan UMNO, maka PH dapat memanipulasikan suasana itu untuk melemahkan UMNO.

“Kekuatan pada Tun M boleh diguna pakai untuk kemenangan PH, sebab itu mereka membuat gabungan yang tidak terfikir oleh rakyat Malaysia, iaitu pakatan gabungan Anwar dan Tun M,” jelasnya.

Tegasnya, Wan Azizah kini melihat  kepentingan politik mengatasi sejarah perbalahan di antara Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Khamis, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa menyifatkan persetujuan Wan Azizah dalam isu suruhanjaya bebas itu menunjukkan PKR bersikap berwaspada terhadap tindak tanduk Dr Mahathir.

Jelas Annuar, ia tindakan berhati-hati Wan Azizah sendiri walaupun secara zahirnya Dr Mahathir diterima menyertai pakatan pembangkang dan dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

 



Comments
Loading...