Lupakah Tun M krisis kehakiman 1988?
(HARAKAH) – RAMAI dalam kalangan generasi muda hari ini tidak tahu berkenaan episod hitam krisis Perlembagaan Negara yang berlaku pada tahun 1988 ketika era pemerintahan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Mereka yang pada hari ini berusia 28 tahun ke bawah belum pun lahir ke dunia pada ketika krisis itu termasuklah saya yang menulis ini.
Namun, ia bukanlah penghalang untuk kita mengimbau dan merungkai sejarah lama ini sebagai pengajaran bersama.
Apa sebenarnya yang berlaku pada tahun 1988?
Untuk memahami kisah tersebut, lebih mudah ianya ditulis dalam bentuk kronologi peristiwa kerana setiap yang berlaku itu saling berkait sehinggalah krisis tersebut mencapai kemuncaknya iaitu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 08 Ogos 1988.
Catatan ini akan menunjukkan bagaimana ketika Tun Mahathir berkuasa, beliau telah meruntuhkan institusi kehakiman (judisiari) yang sepatutnya berfungsi dalam konsep “separation of power” seiring badan Legislatif (Parlimen) dan Eksekutif (Kerajaan).
Apabila pihak Kehakiman dengan beraninya membuat keputusan yang tidak menyebelahi pihak Kerajaan, lalu Tun Mahathir bertindak menggunakan pelbagai cara bagi memastikan para Hakim tunduk kepada Kerajaan.