TARIK TALI DALAM ISU PERLETAKAN JAWATAN 56 LANTIKAN POLITIK PKR DI KELANTAN


Dr Kamarul Zaman Yusoff

Berlalu sudah tarikh yang dimaklumkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran sebagai tarikh akhir yang ditetapkan oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk semua 56 lantikan politik PKR di Kelantan meletakkan jawatan masing-masing dari pentadbiran Kerajaan Kelantan, iaitu 31 Julai.

Sementara Dr Mohd Hafidz, yang turut merupakan salah seorang lantikan politik PKR di Kelantan, iaitu sebagai Penyelia DUN Kuala Balah, sendiri tidak memberikan sebarang maklum balas ke atas pengumuman yang beliau buat di dalam majlis “Dialog Perantau bersama Pakatan Harapan (PH) Kelantan” di Kedai Fatah, Jalan Dato’ Lundang, Kota Bharu, pada 27 Jun lalu, akhbar Berita Harian hari ini melaporkan kenyataan Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustapa, mengenai perkara ini.

Berbanding pengumuman Dr Mohd Hafidz pada 27 Jun lalu bahawa “setiap Penyelia-Penyelia DUN ini dia ada peruntukan tahunan yang perlu diselesaikan” dan “masih ada lagi Penyelia kita yang terpaksa berhutang banyak”, Mohd Sukirman pula menyebut bahawa semua 56 lantikan politik PKR di Kelantan ini belum melepaskan jawatan “bukan kerana mereka sayangkan jawatan atau elaun yang lumayan”, tetapi kerana “wujud konflik dalam arahan berkenaan”.

Kata Mohd Sukirman kepada Berita Harian: “Pada awalnya, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, minta jawatan dilepaskan serta-merta, namun selepas itu ada arahan ia ditangguhkan sehingga 31 Julai, iaitu hari ini (semalam). Kemudian ada lagi arahan supaya menunggu semula arahan rasmi, sama ada perlu lepaskan jawatan atau sebaliknya. Jadi, 56 ahli PKR berkenaan masih menunggu keputusan rasmi, bukan kerana enggan lepaskan jawatan”.

Menarik dilihat “chain of command” PKR di dalam isu ini.

Mengikut Mohd Sukirman, arahan asal supaya semua 56 lantikan politik PKR di Kelantan meletakkan jawatan serta-merta dibuat oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah.

Mengikut Mohd Sukirman juga, “selepas itu ada arahan ia ditangguhkan sehingga 31 Julai”. Walaupun beliau tidak menyebut identiti pemimpin PKR yang memberi arahan ini, jelas dari pengumuman Dr Mohd Hafidz pada 27 Jun lalu berbunyi “Presiden menetapkan bahawa 31 Julai ini macam mana pun semua letak jawatan” bahawa pemimpin PKR yang memberi arahan supaya perletakan jawatan lantikan politik PKR di Kelantan ini ditangguhkan sehingga 31 Julai adalah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah, sendiri.

Seterusnya, Mohd Sukirman berkata, “kemudian ada lagi arahan supaya menunggu semula arahan rasmi, sama ada perlu lepaskan jawatan atau sebaliknya”. Bagaimanapun, tidak disebut identiti pemimpin PKR yang memberi arahan supaya semua 56 lantikan politik PKR di Kelantan “menunggu semula arahan rasmi, sama ada perlu lepaskan jawatan atau sebaliknya” yang bertentangan dengan arahan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah, supaya semua 56 lantikan politik PKR di Kelantan meletakkan jawatan pada 31 Julai.

Isu ini sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah tanpa perlu dipanjangkan. Sama ada beri arahan baru supaya semua 56 lantikan politik PKR di Kelantan kekal dalam jawatan mereka dan berikan sebab-sebab mengapa arahan awal supaya mereka meletakkan jawatan ditarik balik atau beri arahan baru supaya mereka kekal meletakkan jawatan yang disertakan dengan pemberian amaran bahawa sesiapa sahaja daripada 56 lantikan politik PKR yang gagal meletakkan jawatan akan dikenakan tindakan disiplin.

Dalam dunia politik ketegasan adalah sangat perlu.

 



Comments
Loading...