KE ARAH POLITIK MALAYSIA YANG MATANG (SIRI 6): Selesaikan masalah rasuah secera dasar, bukan retorik
DARI SUDUT LAIN
Peranan politik sangat penting dalam menentukan halatuju negara. Sikap masyarakat yang mengabaikan perihal politik akan menyebabkan masa depan mereka sendiri terumbang-ambing. Kebanyakan ahli korporat dan juga tokoh masyarakat amat menitikberatkan tentang politik, walaupun mereka tidak berada di lapangan politik. Mereka akan menyebelahi parti-parti politik tertentu sesuai dengan keuntungan yang diperolehi terhadap perniagaan atau perjuangan mereka. Mereka juga tidak kisah untuk memberikan kerjasama atau mengeluarkan dana untuk menjayakan aktiviti parti tersebut. Kerana bagi mereka, politik tidak boleh dipisahkan jika mahu mencapai matlamat yang mereka citakan.
Antara masalah negara yang dirunguti oleh kebanyakan pihak hari ini adalah rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan, bahkan ia adalah masalah negara-negara membangun dan dunia ketiga. Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh badan antarabangsa Transparency International menunjukkan Malaysia jatuh pada kedudukan ke 55 daripada 176 negara. Perkara ini menunjukkan prestasi Malaysia semakin merosot berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Statistik yang dikeluarkan ini sudah tentu akan mempengaruhi keyakinan pelabur asing untuk menjalankan perniagaan di negara kita. Hal ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan turut menjejaskan perdagangan dalam negara. Dari sudut sosial juga turut memberi kesan, apabila rasuah boleh mempengaruhi pihak berkuasa dalam menjalankan tugasan mereka, yang akhirnya kedaulatan dan kestabilan negara akan terjejas.
Oleh kerana rasuah menjadi barah dalam negara, kebanyakan rakyat membencinya. Di mata politikus pula, memerangi rasuah sudah tentu menjadi satu perkara yang sangat baik untuk diperjuangkan, kerana bakal menarik sokongan masyarakat terhadap mereka. Maka banyaklah parti yang bercakap soal rasuah, mendedahkan segala bentuk rasuah yang dilakukan oleh parti lawan walaupun rasuah turut berlaku dalam parti mereka sendiri.
Sudah terlalu banyak isu-isu rasuah kedengaran di arena politik, samada ia melibatkan ahli politik sendiri, ataupun melibatkan pegawai kerajaan tetapi dipolitikkan isu tersebut, sama ada di pihak kerajaan ataupun pihak pembangkang. Tetapi yang kurang dibincangkan adalah langkah-langkah dasar atau fundamental yang perlu bagi mengekang gejala rasuah dari terus merebak. Kebanyakannya sekadar berjanji akan menghapuskan rasuah, tidak akan makan rasuah dan mengamalkan urustadbir yang baik (good governance). Namun tidak ada jaminan apakah mereka benar-benar boleh mengekang rasuah.
Kita ambil contoh kerajaan yang diperintah oleh pembangkang. Mereka antara yang paling lantang menentang rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan. Tetapi di Pulau Pinang kini, Ketua Menterinya Lim Guan Eng sendiri terpalit isu rasuah melibatkan banglo mewah yang dibelinya di bawah harga pasaran. Begitu juga di Selangor, apabila Ketua AMK Ampang ditahan atas dakwaan rasuah melibatkan rumah agam Disneyland yang dimilikinya di daerah terbabit.
Isu rasuah tidak sepatutnya menjadi retorik yang hanya digunakan untuk meraih sokongan sahaja. Sebaliknya ia perlu dibincang secara serius dalam menggubal polisi baru yang boleh menghalang ahli politik, pegawai kerajaan dan rakyat umumnya dari menerima rasuah.
Antara yang boleh diperhalusi adalah peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Badan ini telah ditubuhkan sejak tahun 1967 dengan nama Badan Pencegah Rasuah (BPR). Namun peranannya lebih kepada menjalankan aktiviti-aktiviti pencegahan khususnya ceramah. Pada tahun 1973, namanya ditukar kepada Biro Siasatan Negara (BSN) setelah diluluskan Akta Biro Siasatan Negara. Tujuannya adalah untuk memperluaskan peranan badan ini. Pada tahun 1982, namanya sekali lagi ditukar kepada nama asal iaitu BPR apabila digubal Akta Biro Pencegah Rasuah pula. Dilaporkan tindakan ini dibuat atas alasan supaya lebih jelas tugas BPR untuk membanteras rasuah. Pada tahun 2009 pula, digubal Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ang membawa kepada BPR dijenamakan semula sebagai SPRM.
Apabila diteliti sejarah panjang tentang SPRM bermula daripada BPR, sebuah laporan jurnalis Utusan Malaysia pada 2009 menyatakan bahawa BPR pada awal penubuhannya amat telus dalam menjalankan kerja-kerja pencegahan rasuah. Walaupun ia masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, tetapi Pengarah BPR memiliki kuasa untuk mengheret kes-kes yang dikenalpasti ke mahkamah. Malangnya setelah digubal Akta Biro Pencegahan Rasuah pada tahun 1982, atau lebih tepatnya di awal pemerintahan Tun Dr Mahathir, kuasa pendakwaan itu hilang apabila BPR hanya terhad untuk menjalankan tugas siasatan sahaja, kemudian fakta kes diserahkan kepada peguam negara. Terpulang kepada budi bicara Peguam Negara untuk memberi laluan supaya kes tersebut dibawa ke mahkamah ataupun dibiarkan begitu sahaja.
Kerana itulah pada tahun Januari 2009, di akhir pemerintahan Tun Abdullah, BPR dijenamakan semula sebagai SPRM dengan tergubalnya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (akta 694). Selain daripada memperuntukkan kuasa perlantikan ketua pesuruhjaya terus di bawah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Akta 694 juga mengembalikan kuasa pendakwaan kepada SPRM. Tertera pada sub seksyen 6 Seksyen 5 akta tersebut peruntukan ini:
“Ketua Pesuruhjaya hendaklah mempunyai segala kuasa pegawai Suruhanjaya dan hendaklah mempunyai apa-apa kuasa Timbalan Pendakwa Raya sebagaimana yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya bagi maksud Akta ini”.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
http://www.sprm.gov.my/images/Akta-akta/SPRM_akta_BM.pdf
Namun daripada pengamalan hari ini, SPRM masih lagi bertindak seperti BPR dahulu dari sudut pendakwaan. Pada awal 2009, SPRM telah menunjukkan taringnya dengan mengheret empat individu iaitu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan, seorang penghulu, Ketua Perhubungan Teknikal Kumpulan Hartanah Selangor Berhad serta pegawai kanan kastam. Tetapi dewasa ini SPRM tidak menggunakan kuasa pendakwaan yang mereka miliki, sebaliknya merujuk kepada Peguam Negara dahulu. Bahkan pada tahun 2015, kerajaan menyebut bahawa SPRM tidak memiliki kuasa pendakwaan.
https://www.malaysiakini.com/news/321736
Jelas berlaku perbezaan antara peruntukan akta 694 dan juga jawapan yang dikemukakan. Kepincangan ini perlu diselesaikan untuk memastikan SPRM benar-benar sebuah entiti yang telus, dan tidak dipengaruhi mana-mana kepentingan lain. Maka sewajarnya perbincangan tentang isu rasuah perlu menyentuh tentang aspek ini lebih daripada isu-isu retorik dan janji manis sahaja.
Selain itu, masalah SPRM juga adalah tidak memiliki kepakaran mencukupi dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah. Sehingga kini mereka masih perlu mengharapkan agensi-agensi lain untuk membantu tugas siasatan. Perkara ini tentu sekali boleh menjejaskan ketelusan siasatan SPRM. Sebaiknya perjawatan kakitangan SPRM diletakkan khusus di bawah suruhanjaya yang tersendiri. Hal ini dapat memastikan supaya tidak ada kuasa lain yang boleh mempengaruhi penjawat-penjawat di SPRM.
Tindakan blok politik Gagasan Sejahtera (GAGASAN) yang bukan sahaja menyokong SPRM, tetapi juga memberikan pandangan untuk meningkatkan kualiti SPRM adalah satu tindakan yang perlu dipuji. Mereka akan menyerahkan memorandum kepada SPRM atas tujuan tersebut. Dikhabarkan antara pandangan yang akan dikemukakan menerusi memorandum tersebut adalah soal kuasa pendakwaan dan kepakaran yang disebutkan di atas.
https://www.youtube.com/watch?v=9fBAUERlCjo
Selain SPRM, satu lagi usaha yang menarik untuk dibincangkan adalah berkenaan cadangan dari Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) pada tahun 2016, yang menggesa supaya digubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA). PAS dan GAGASAN yang menyokong akta ini berpendapat bahawa ianya mampu untuk menyelesaikan masalah politik wang, yang juga menjadi salah satu cabang kepada gejala rasuah. Sehingga hari ini masih belum wujud sebarang undang-undang khusus untuk mengekang aktiviti politik wang.