Tun M mungkin dipanggil SPRM


(Malaysia Gazette) – Tun Dr. Mahathir Mohamad kini dalam pemerhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kenyataannya mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai RM230 juta dalam akaun.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan dan Profesional SPRM, Datuk Seri Jamidan Abdullah, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu tidak lama lagi.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tidak ada sebarang arahan untuk SPRM membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

“Kita tidak menolak kemungkinan (memanggil Dr. Mahathir) beri keterangan,” katanya ringkas selepas menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dengan SPRM, di Putrajaya, hari ini.

Rabu lalu, Dr. Mahathir melalui blognya chedet.cc dilihat menyerang Ahmad Zahid dengan mendakwa Timbalan Perdana Menteri itu memiliki RM230 juta ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO pada 1996.

Beliau mendakwa, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana wang sejumlah itu diperolehinya.

Ahmad Zahid diserang selepas beliau mendedahkan siapa Dr. Mahathir dengan menunjukkan salinan kad pengenalannya yang tercatat “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.

 



Comments
Loading...