ORANG KUAT DATUK HUSAM PUN KUTUK DATUK DR MUJAHID JUGA!


Dr Kamarul Zaman Yusoff

Di dalam Writ Samannya bertarikh 19 Julai 2017, Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, menuntut gantirugi sebanyak RM5 juta dari saya kerana kononnya tulisan saya di dalam akaun Facebook saya, Kamarul Yusoff, bertajuk “Dr Mujahid Antara Kuda Tunggangan Terbaik DAP” pada 25 Mei 2017 menyebabkan “(beliau) telah mengalami kerosakan yang amat teruk dan serius yang tidak boleh diperbaiki di dalam karakter (beliau) dan reputasi (beliau) di dalam negeri dan/atau antarabangsa dan telah menjadi tular, skandal umum, kebencian ramai termasuk telah menimbulkan persepsi yang negatif di kalangan masyarakat dan (beliau) telah mengalami distress yang tidak berpatutan, kebimbangan dan malu”.

Saya tergelak besar membaca kenyataan Dr Mujahid ini kerana jika benarlah apa yang didakwa oleh beliau, iaitu tulisan saya itu menyebabkan “(beliau) telah mengalami kerosakan yang amat teruk dan serius yang tidak boleh diperbaiki di dalam karakter (beliau) dan reputasi (beliau) di dalam negeri dan/atau antarabangsa dan telah menjadi tular, skandal umum, kebencian ramai”, maka sudah tentulah Dr Mujahid akan kalah teruk di mana-mana kerusi yang beliau tandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini kerana karakter (beliau) dan reputasi (beliau) telah mengalami kerosakan yang amat teruk dan serius yang tidak boleh diperbaiki ekoran tulisan saya yang boleh dikira berpengaruh dan berimpak besar itu.

Di antara lainnya, Dr Mujahid mendakwa bahawa tulisan saya itu memfitnah beliau kerana menggambarkan beliau sebagai “seorang individu muslim, ahli parlimen, pemimpin parti dan masyarakat yang mempunyai kefahaman liberal terhadap Islam”. Saya telah menyiapkan satu kenyataan pembelaan panjang lebar ke atas Writ Saman Dr Mujahid ini untuk diserahkan kepada pihak mahkamah pada 10 Ogos 2017. Sementara kandungan kenyataan pembelaan ini tidak boleh didedahkan supaya tidak menjejaskan kes yang akan dibicarakan, sukalah saya menyebut di sini bahawa saya, di dalam tulisan saya itu, sebenarnya tidak pernah walau sekali pun merujukkan Dr Mujahid sebagai seorang yang mempunyai kefahaman liberal terhadap Islam.

Sebaliknya, seorang individu lain, yang diketahui mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan seorang lagi Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa, dan yang diketahui mempunyai latar belakang pendidikan Islam yang sangat baik termasuk pernah berguru dengan salah seorang ulama’ tersohor tanah air, Datuk Muhammad Uthman el-Muhammady, telah secara terang-terang menyebut Dr Mujahid sebagai seorang yang mempunyai kefahaman liberal terhadap Islam di dalam akaun Facebook beliau ekoran isu sama dengan isu yang saya ulas di dalam tulisan saya itu, iaitu cadangan Dr Mujahid untuk mengharamkan parti politik yang berasaskan kaum dan agama yang dilaporkan oleh portal berita The Malaysian Insight pada 24 Mei 2017.

Bukan sahaja tulisan individu yang dimaksudkan ini lebih spesifik, kerana telah secara terang-terang menyebut Dr Mujahid sebagai liberal berbanding saya yang tidak menyebut begitu, tetapi tulisan individu ini juga dibuat kira-kira lapan jam lebih awal berbanding tulisan saya (tulisan beliau disiarkan pada jam 11:56 pagi 25 Mei 2017 manakala tulisan saya pula disiarkan pada jam 8:19 malam 25 Mei 2017). Persoalannya ialah kenapa individu ini, yang diketahui tidak aktif di dalam mana-mana parti politik tetapi dilihat mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan ramai pemimpin parti politik, termasuk parti politik yang Dr Mujahid adalah Naib Presidennya, iaitu AMANAH, begitu berani sekali menyebut Dr Mujahid sebagai liberal?

Berikut disertakan petikan tulisan individu bernama Zaidi Hassan bertajuk “Memahami Arah Tuju Politik YB Dr. Mujahid” yang disiarkan pada jam 11:56 pagi 25 Mei 2017 ini:

“Apakah yang dimaksudkan parti yang berasaskan agama dan berasaskan bangsa perlu disingkir dari kancah politik, sehingga di masa hadapan ROS patut bertindak untuk menentukan parti yang berasaskan agama atau bangsa tidak dapat didaftarkan? Demokrasi semacam mana yang diidamkan oleh Dr. Mujahid, sehingga parti yang berasaskan agama dan bangsa perlu disingkirkan? Kebebasan apa yang diidamkan oleh Dr. Mujahid?”

“Itu pada peringkat kefahaman, bagaimana pula di peringkat kenyataan politik kepartian yang wujud pada hari ini? Adakah AMANAH dalam impian Dr. Mujahid, sepatutnya bukan parti yang berasaskan Islam, bukan pula parti alternatif yang lebih berkesan daripada kepada PAS dalam memperjuang kepentingan Islam dalam gelanggang politik demokrasi ini?”

“Dengan pendirian yang demikian ‘liberal’ , adakah AMANAH dalam versi Dr. Mujahid tidak lagi berhasrat untuk bertanding di kawasan-kawasan majoriti Melayu Muslim? Isu yang akan diperjuangkan pun bukan lagi isu kepentingan Islam mahupun Melayu? Apakah daya tarikan untuk mendapat sokongan orang Melayu Muslim yang akan di ketengahkan oleh Dr. Mujahid selain daripada good governance dan memerangi rasuah?”

“Apakah bezanya AMANAH daripada parti yang jelas-jelas sekular umpama DAP? Apakah nilai-nilai asas yang diperjuangkan oleh DAP itulah sebenarnya nilai-nilai asas serta isu-isu utama yang diperjuangkan oleh Dr. Mujahid?”

 



Comments
Loading...