Dr M terperangkap dalam politik kebencian pembangkang
(Berita Daily) – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mahdzir Khalid menasihati bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad perlu menyedari bahawa politik kebencian dimainkan oleh pembangkang tidak sesuai diamalkan di Malaysia.
Beliau turut menyifatkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM kini telah terperangkap dalam politik kebencian yang dimainkan pakatan pembangkang.
“Dr Mahathir harus sedar politik sedemikian amat berbahaya dan sangat tidak sesuai diamalkan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya Mahdzir lapor portal barisannasional.org.
“Pada saya, Dr Mahahtir juga adalah salah seorang ahli politik yang termasuk dalam politik kebencian ini di mana semua yang membabitkan Umno termasuk Perdana Menteri, Najib Razak akan menimbulkan kebencian dalam dirinya,” tambahnya.
Menurutnya, pakatan pembangkang sentiasa menanam sentimen rakyat bahawa semua yang dibuat kerajaan untuk pembangunan dan kemakmuran negara adalah tidak betul.
“Jadi saya kira parti politik pembangkang harus profesional dan tidak wajar sama sekali menanam politik kebencian,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita dan Pemuda Umno bahagian Pasir Puteh, di Kompleks Umno Uthmaniyah, Kampung Pulau Lima,semalam.
“Sudah sampai masanya rakyat menilai pendirian parti pembangkang dan membuat pilihan yang baik untuk memaju serta memakmurkan negara,” ujar Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan.