Mahathir Sendiri Punca Forum Kecoh – Hadi Awang
(Bicara News) – Pihak yang tidak dapat menjawab soalan mudah berkaitan peristiwa hitam Memali tidak sepatutnya marah, demikian sindiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menerusi catatan terkini dalam akaun Facebook beliau hari ini, pemimpin PAS tersebut merujuk insiden kekecohan dalam program Nothing To Hide 2.0 ekoran kegagalan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengupas pertanyaan isu itu.
Forum anjuran Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam, Selangor pada Ahad lalu itu kecoh berikutan jawapan Presiden PPBM tersebut sendiri ‘lari’ daripada soalannya.
Individu yang bertanyakan itu pula ialah Exco Armada PPBM sendiri, Mohamad Taufik Abas, dan bukannya ahli UMNO sebagaimana dituduh Pakatan Harapan; yang hanya mahukan pencerahan mengenai insiden Memali.
Kemuncaknya jawapan ‘bodoh’ Mahathir itu mencetuskan kemarahan peserta forum selain hadirin yang tidak berpuas hati sehinggalah berlaku aksi baling kasut, suar dan kerusi kepada bekas perdana menteri itu sendiri.
“Terima kasih diucapkan kepada yang meminta penjelasan berkenaan peristiwa Memali. Kepada yang tidak mampu jawab, sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak buat kekecohan. Anak muda sahaja tidak patut dipersalahkan.
“Sepatutnya juga dipersalahkan yang menjadi penyebabnya,” sinis Abdul Hadi dalam catatan terbaharu Memali: Kecoh Nothing To Hide 2.0 menerusi akaun Facebook itu yang menerima lebih 2,000 tanda suka daripada netizen.
Posting itu bahkan mendapat hampir 500 perkongsian dan lebih 100 komen. Jelas Abdul Hadi lagi, ramai pihak yang melemparkan batu tetapi cuba menyembunyikan tangan dalam mengulas isu sejarah hitam pada 1985 itu.
Tegas beliau, tidak guna ungkit sejarah hitam tanpa bertaubat dan meminta maaf malah beliau merujuk pepatah Arab yang berbunyi: “Dia yang pukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang zalimi saya, dia pula yang mengadu”.
“Tiada guna ungkit cerita lama sejarah hitam itu tanpa bertaubat dan meminta maaf sekiranya bersalah, dan tanpa membetulkan keadaan dengan membayar yang perlu dibayar dan mengganti yang perlu diganti,” kata Abdul Hadi.
Dalam insiden dramatik yang menyebabkan kerosakan Dewan Raja Muda Musa bernilai RM15,000 itu seramai tiga individu memakai baju-T bertulisan Armada sendiri masing-masing berusia 17 hingga 19 tahun ditahan pihak polis.
Berikut ialah kenyataan penuh Abdul Hadi menerusi Facebook beliau sebagai mengulas kejadian mengaibkan yang menimpa Mahathir itu dalam program anjuran sayap pemuda parti ciptaannya sendiri.
MEMALI : KECOH NOTHING TO HIDE 2.0
Semua pihak menunding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali.
PAS adalah mangsanya apabila diserang hebat sehingga mengorbankan salah seorang pemimpinnya, Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakan.
Terima kasih diucapkan kepada mereka yang meminta penjelasan berkenaan peristiwa Memali. Kepada yang tidak mampu menjawab sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak membuat kekecohan.
Anak-anak muda sahaja tidak sepatutnya dipersalahkan, sepatutnya juga dipersalahkan yang menjadi penyebabnya.
Ketika peristiwa itu masih panas darah yang mengalir, para ulama PAS mengisytiharkan syahidnya mereka yang menjadi mangsa kerana dibunuh dengan zalim dan mereka mempertahankan Islam yang ditegakkan.
Ketika itu Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya dipersalahkan, bukan pula dipersalahkan orang yang selalu menghina Islam dan hukumnya yang sangat dimarahi oleh Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan.
PAS mempunyai pendekatan sebagai parti yang berdakwah, bukan menghukum kafir mengkafir kerana kejahilan umat terhadap Islam, yang mengharamkan pendekatan itu.
Akhirnya PAS berjaya membendungnya secara ilmu dan mereka yang paling kuat mengkafirkan UMNO pula akhirnya ramai yang masuk UMNO atau diam sahaja.
Hari ini dapat diwujudkan kerjasama PAS dan UMNO dalam perkara Islam. Malangnya ada pihak yang marahkan pendekatan ini.
Ramai kakitangan kerajaan, polis dan UMNO tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan sehingga mengorbankan polis yang dipaksa dan Ustaz Ibrahim dan rakan-rakannya yang diserang.
Kita mengharapkan yang dipaksa juga mendapat syahid, inilah hukum Islam. Namun ramai yang melempar batu menyembunyikan tangan dalam mengulas isu sejarah hitam ini.
PAS hanya menyebut pepatah Arab yang berbunyi:
ضربني وبكى , ظلمني واشتكى
“Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu”
Tiada guna mengungkit cerita lama sejarah hitam itu tanpa bertaubat dan meminta maaf sekiranya bersalah, dan tanpa membetulkan keadaan dengan membayar yang perlu dibayar dan mengganti yang perlu diganti.
Apa yang terbaik adalah melaksanakan nasihat daripada Allah:
وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفٗا مِّنَ ٱلَّيۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّئَِّاتِۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ ١١٤ هود .
“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat” (Surah Hud: Ayat 114)
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS