Isa Samad direman 5 hari


(FMT) – Bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad direman 5 hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kes pembelian 2 hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Isa dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan berpakaian lokap SPRM, diiringi isteri Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan anak mereka.

Isa diwakili peguam Devkumar Kumaraendran, Ridha Abdah Subry and N Sivananthan, manakala timbalan pendakwaraya Tengku Amir Zaki mewakili SPRM dalam permohonan reman, di mahkamah yang dipengerusikan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Datuk Zainal Abidin Kamaruddin.

Peguam Isa memohon mahkamah menolak reman ke atasnya, dengan memberi alasan anak guam mereka menghidap penyakit jantung.

Isa, yang dilantik pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selepas ditamatkan jawatannya di Felda Global Ventures (FGV), ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 2.40 petang semalam.

Bulan lepas, SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di Kensington, London, pada 2014 oleh FIC, yang dipercayai dibayar pada kadar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran, mendatangkan kerugian jutaan ringgit terhadap anak syarikat Felda itu.

SPRM turut menjalankan siasatan berhubung kes pembelian hotel di Kuching oleh FIC, yang juga dipercayai melibatkan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

Susulan penangkapannya, rumah Isa di Selangor semalam turut diserbu pegawai penyiasat.

“Itu proses biasa… lepas tangkap, kita akan buat pemeriksaan di rumah,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad.

 



Comments
Loading...