MUSTAHIL AZMIN BERJAYA PENGARUHI PRESIDEN PAS
DARI SUDUT LAIN
Satu perkembangan menarik dalam dunia politik tanahair yang mendapat perhatian pemerhati politik adalah kunjungan MB Selangor, Dato Seri Azmin Ali bersama Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Yusof menziarahi Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang. Pertemuan tersebut dikhabarkan berlaku di sebuah hotel di Ibu Kota beberapa hari yang lalu.
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/10707/
Walaupun Dato Seri Azmin mengatakan perjumpaan ini hanyalah ziarah biasa kerana Dato Seri Abdul Hadi masih dalam proses pemulihan dari pembedahan yang dijalani dua bulan lepas, tetapi ianya agak menarik atas beberapa perkara. Pertamanya kerana Dato Seri Azmin datang bersama Datin Seri Wan Azizah, sedangkan kedua mereka bukan dari kem yang sama di dalam PKR sebagaimana halnya yang berlaku dalam Langkah Kajang. Kedua, Azmin merupakan pengarah pilihanraya Pakatan Harapan (PH). Ketiga, ura-ura penyatuan kembali PAS-PKR dalam menghadapi PRU14 terus dimainkan sebaik pertemuan ini.
http://www.sinarharian.com.my/politik/kronologi-krisis-menteri-besar-selangor-1.317956
http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/08/10/pakatan-harapan/
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/10791/
Tidak perlu rasanya untuk membincangkan apa isi perbincangan pertemuan mereka itu. Tetapi jika melihat dari kacamata PRU14 yang bakal berlangsung bila-bila masa sahaja kini, sememangnya tindakan PKR mendekati PAS memang amat signifikan. Ini kerana dalam mana-mana sejarah PRU, PKR belum pernah menyertai PRU tanpa PAS. Semestinya kehilangan PAS amat sukar buat PKR.
Melihat kepada keseriusan PAS menentang PH, hampir pasti PAS tidak akan mengambil kira samada kerusi yang bakal ditandingi mereka turut melibatkan pertandingan dengan mana-mana parti dalam PH ataupun tidak. Ini bermakna kemungkinan besar PAS juga akan bertanding menentang PKR di kerusi-kerusi tertentu. Maka situasi 3 penjuru akan terbentuk antara PAS atau mana-mana parti dalam Gagasan Sejahtera, BN atau PH.
PKR tidak memiliki kekuatan akar umbi dan penyokong tegar seperti PAS ataupun Umno, malah mungkin DAP. Mereka banyak menumpang sokongan penyokong PAS dan DAP. Kerana itu kebanyakan kerusi yang ditandingi PKR adalah di kawasan campuran kaum yang hampir sekata. Dengan kata lain, tanpa kerjasama dengan PAS atau DAP, PKR akan kalah teruk. Justeru dalam situasi sekarang, merekalah yang paling banyak akan kehilangan kerusi.
Kemungkinan besar kedatangan Azmin bukan mewakili PKR semata-mata, tetapi PH secara keseluruhan. Perlantikan beliau sebagai pengarah pilihanraya juga adalah berkemungkinan besar supaya beliau menjadi jambatan untuk menautkan kembali hubungan antara PAS dengan pakatan tersebut.
Jika diperhatikan sikap PAS kini, nampaknya mereka betul-betul komited dengan perjuangan Islam yang menjadi teras kepada parti tersebut. Mereka sanggup buat apa sahaja demi kebaikan Islam. Punca utama PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR juga adalah kerana Islam. Punca PAS mengendurkan sedikit ketegangan antara mereka dan Umno juga adalah kerana Islam. Malah Presiden PAS sentiasa menyebut mereka terbuka untuk berunding dengan sesiapa sahaja asalkan menguntungkan Islam.
https://www.bharian.com.my/node/277611
https://www.youtube.com/watch?v=QhH0Cibpg0Y
http://www.utusan.com.my/berita/politik/pas-sedia-bekerjasama-demi-islam-8211-hadi-1.158731
Mengambil kira kehendak PAS sekarang, PH perlu menyedari akan hal ini sebelum melakukan apa-apa rundingan. Mereka perlu menawarkan perkara-perkara yang selari dengan kehendak PAS. Mereka perlu berusaha untuk tidak mencetuskan perkara-perkara yang bertentangan dengan citra PAS.
Dalam hal ini Umno melakukan langkah yang bijak. Mereka menunjukkan sikap yang selari dengan aspirasi PAS iaitu menyokong RUU355 yang diperjuangkan PAS. Tanpa mengambil kira apakah mereka benar-benar ikhlas menyokong ataupun hanya berhelah, PH sepatutnya mengambil langkah yang serupa. Soalnya apakah PH berani berbuat demikian?
Jika mereka memahami PAS, mereka sepatutnya tidak menghantar Azmin. Sebaliknya orang yang memiliki pengetahuan agama seperti Ustaz Ahmad Awang lebih layak dihantar untuk berunding. Umno sangat memahami hal ini. Mereka tidak hantar Azalina Othman atau Hishamuddin Hussein, sebaliknya menghantar Dato Jamil Khir, Dr Asyraf Wajdi dan Dato Seri Zahid Hamidi yang memiliki latarbelakang agama.
Dari sudut yang lain, mereka tidak pandai mengambil hati PAS sepertimana yang dilakukan Umno. Dalam isu pembinaan laluan keretapi laju ECRL, PH mengambil sikap menentang projek ini dengan berbagai alasan. Sedangkan ECRL adalah satu projek yang sangat baik untuk kemajuan negeri pantai timur khususnya Kelantan dan Terengganu yang dianggap sebagai negeri emas PAS. Umno pula pandai mengambil hati PAS dengan projek ini, sehingga PAS tidak menentang projek ECRL sebagaimana yang dibentangkan dalam bajet 2017 tahun lepas.
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/03/16/pas-ucap-tahniah-hargai-pembinaan-ercl/
Kesimpulannya, pertemuan antara Azmin dan Abdul Hadi tidak memberi apa-apa perubahan terhadap pendirian PAS dalam menghadapi PRU14 nanti, sekiranya mereka tidak mampu untuk menawarkan apa-apa yang menguntungkan PAS. Jika mereka mampu tawarkan sekalipun, langkahnya amat panjang dan mungkin memerlukan Muktamar Khas diadakan. Mustahil Presiden PAS akan mengambil langkah melawan keputusan muktamar PAS Pusat yang lalu, yang sebulat suara mahukan PAS memutuskan hubungan dengan PKR. Juga mustahil Abdul Hadi akan turut berbeza dengan keputusan Majlis Syura PAS yang selari dengan kehendak semua ahlinya, lebih-lebih lagi beliau merupakan salah seorang dari anggota Majlis Syura sendiri.