PAS Gesa RCI Ditubuhkan Siasat Tragedi Memali
(Suara TV) – PAS menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat peristiwa berdarah Memali yang mengorbankan kira-kira 14 nyawa, 32 tahun lalu.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, suruhanjaya itu penting memandangkan timbulnya pelbagai kenyataan yang bercanggah dengan fakta mengenai tragedi itu.
“PAS menggesa satu siasatan yang telus dan adil dapat dijalankan untuk membongkar tragedi Memali.
“Sehubungan itu, PAS mendesak agar satu Suruhanjaya DiRaja diwujudkan bagi menyiasat semula tragedi Memali bagi memberikan keadilan kepada semua pihak dan membersihkan nama-nama mereka yang tidak bersalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tuan Ibrahim juga memetik kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang mendedahkan bahawa Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan berada di luar negara sewaktu tragedi berdarah itu berlaku.
“Dalam satu forum ‘Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang’ yang berlangsung di Kota Bharu pada 2014, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata peristiwa Memali merupakan titik hitam dalam kerjaya politiknya.
“Sebelum itu, Tun Musa mengejutkan negara dengan pendedahan bahawa Perdana Menteri ketika peristiwa berdarah itu berlaku, Tun Dr Mahathir Mohamad masih berada di Kuala Lumpur pada hari kejadian, bukan di China seperti dakwaan sebelum ini,” katanya.
Malah kata Tuan Ibrahim, saksi-saksi kejadian Memali tampil mendakwa bahawa Kertas Putih mengenai peristiwa Memali yang dibentangkan oleh kerajaan di Parlimen adalah penuh dengan pembohongan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada mereka yang pernah mengikuti kes Memali secara dekat, kini mengubah pendirian dan ‘bersetuju’ dengan dakwaan Dr Mahathir bahawa tindakan polis adalah untuk mempertahankan diri.
“Atau kebenaran tidak lagi penting pada sesetengah mereka kerana mereka kini memerlukan Dr Mahathir untuk Pilihan raya Umum ke-14?
“PAS kesal tragedi yang sepatutnya boleh dielak dari berlakunya pertumpahan darah itu berakhir dengan tindakan sangat zalim. Sewajarnya, pada pandangan PAS, kerajaan perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mangsa Memali,” katanya lagi.
Peristiwa Memali tercetus pada 19 November 1985 iaitu pada era pemerintahan Dr Mahathir, ekoran tindakan pihak keselamatan mahu menahan seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.
Pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung akhirnya mengorbankan 14 orang termasuk guru agama itu, dengan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.
‘Tragedi Memali’ kembali hangat selepas Dr Mahathir diminta menjelaskan kisah sebenar peristiwa berdarah itu oleh segelintir penyokong pembangkang dalam forum Nothin to Hide 2.0 baru-baru ini.
Bagaimanapun, jawapan yang diberikan mantan perdana menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak memuaskan sekaligus mencetuskan kekecohan sewaktu forum itu berlangsung.