KE ARAH POLITIK MALAYSIA YANG MATANG (SIRI 7): Pertemuan PAS-1MDB perlu dicontoh


DARI SUDUT LAIN

Menerapkan nilai kematangan dalam politik adalah sesuatu yang sangat mencabar. Selain dari perlu menongkah arus budaya lama yang sudah sebati dalam penggiat politik tanahair, terdapat di kalangan pihak-pihak tertentu yang sengaja membentuk pemikiran masyarakat supaya berminda tidak matang. Peranan ini biasa dimainkan oleh media kerana hakikatnya mereka memiliki kepentingan dan matlamat tersendiri dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Mereka menggunapakai kaedah seperti media priming, media framing dan agenda setting sehingga membelakangi kebenaran dan ketelusan dalam laporan.

http://onlinelibrary.wiley.com/doi/10.1111/j.1460-2466.2006.00333.x/abstract

Untuk mengatasi masalah ini, sepatutnya penggiat politik tidak menyandarkan sumber maklumat mereka kepada media semata-mata. Tanpa dinafikan masih terdapat media yang jujur dan telus, malangnya kebanyakannya memiliki kepentingan tertentu dan kecenderungan tersendiri terutama dalam pendirian politik. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan juga serata dunia termasuk negara besar seperti Amerika dan United Kingdom.

Tindakan terbaik adalah menyelidik sendiri sesuatu perkara yang timbul secara dekat dan teliti. Di dalam Islam ia disebut sebagai konsep tabayyun. Antara cara yang paling baik adalah dengan mendekati pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu polemik atau isu dan mendapatkan penjelasan daripada semua mereka.

https://almanhaj.or.id/3445-mengapa-mesti-tabayyun.html

Sebagai contoh, dalam menangani polemik 1MDB yang melanda negara hari ini sehingga melibatkan agensi luar negara seperti portal Wall Street Journal dan Department of Justice Amerika, PAS telah mengambil tindakan proaktif dengan berjumpa sendiri presiden dan pengurusan tertinggi 1MDB, Arul Kanda. Mereka telah mengadakan pertemuan meja bulat pada 7 Ogos bertujuan meminta penjelasan tentang apa yang berlaku terhadap syarikat pelaburan itu.

Selain dari wakil PAS diketuai oleh Timbalan Presidennya Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, turut hadir adalah tokoh korporat nasional yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Bersama mereka juga adalah beberapa pakar ekonomi dari universiti tempatan.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/pas-puas-hati-sesi-meja-bulat-1mdb-1.714957

Hasil pertemuan ini, PAS mengesahkan bahawa beberapa projek di bawah pelaburan 1MDB tidak mencapai objektif yang dikehendaki. PAS juga sekali lagi menegaskan akan keperluan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat punca kegagalan beberapa projek tersebut. Selain itu PAS juga bersetuju dengan usaha rasionalisasi 1MDB bagi menghapuskan hutang yang ditanggung akibat kerugian dalam pelaburan. Ini bagi mengelakkan kerajaan menanggung faedah hutang kira-kira 1.9 bilion setahun.

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/2410-perlu-rci-siasat-skandal-1mdb

http://www.bhplus.com.my/berita/nasional/2017/08/310460/beri-peluang-kepada-pelan-rasionalisasi-1mdb-pas

Kesimpulannya, tindakan pihak 1MDB yang terbuka untuk menerima kunjungan PAS adalah satu langkah yang amat profesional dan patut dipuji. Tindakan PAS juga yang mengambil langkah ‘tabayyun’ juga perlu diiktiraf kerana mengamalkan sebuah budaya politik yang matang. Sejak memperkenalkan pendekatan Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS), PAS dilihat sangat berbeza dengan mana-mana parti pembangkang yang lain. Mereka tidak cepat mencipta atau menyokong kepada persepsi terhadap sesuatu yang berlaku walaupun persepsi tersebut memberi keuntungan kepada politik mereka sendiri.

https://www.malaysiakini.com/news/391293#vLcq6KZjyuj4OEBt.97

Diharapkan agar parti-parti politik di Malaysia khususnya lebih kerap mengadakan pertemuan sedemikian tanpa mengira perbezaan politik yang mereka perjuangkan. Sepatutnya mereka tidak perlu alergik untuk duduk semeja dan berbincang walaupun hakikatnya mereka adalah musuh politik. Masyarakat pula tidak wajar dididik dengan persepsi negatif kononnya apabila dua buah parti yang bermusuh tiba-tiba duduk sekali, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Unsur-unsur sebegini sebenarnya adalah budaya politik melampau yang tidak sihat untuk kestabilan masyarakat.

 



Comments
Loading...