PAKATAN BEREBUT KERUSI DI KEDAH


AMANAH TURUT TERSEPIT DI KEDAH?

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Dalam PRU 13, pembahagian kerusi DUN Kedah antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat ialah 24 untuk PAS, 10 untuk PKR dan 2 untuk DAP.

Kerusi-kerusi DUN Kedah yang ditandingi oleh PAS dalam PRU 13 ialah:

N1 Ayer Hangat
N3 Kota Siputeh
N4 Ayer Hitam
N6 Jitra
N7 Kuala Nerang
N9 Bukit Lada
N10 Bukit Pinang
N14 Alor Mengkudu
N15 Anak Bukit
N16 Kubang Rotan
N17 Pengkalan Kundor
N18 Tokai
N19 Sungai Tiang
N20 Sungai Limau
N21 Guar Chempedak
N23 Belantek
N24 Jeneri
N26 Tanjong Dawai
N27 Pantai Merdeka
N30 Bayu
N31 Kupang
N32 Kuala Ketil
N33 Merbau Pulas
N36 Bandar Baharu

Kerusi-kerusi DUN Kedah yang ditandingi oleh PKR dalam PRU 13 ialah:

N2 Kuah
N5 Bukit Kayu Hitam
N8 Pedu
N12 Bakar Bata
N22 Gurun
N25 Bukit Selambau
N28 Bakar Arang
N29 Sidam
N34 Lunas
N35 Kulim

Kerusi-kerusi DUN Kedah yang ditandingi oleh DAP dalam PRU 13 ialah:

N11 Derga
N13 Kota Darul Aman

Dengan terkeluarnya PAS dari Pakatan Rakyat, dan dengan munculnya AMANAH sebagai pengganti PAS dalam Pakatan Harapan, secara logiknya 24 kerusi DUN Kedah yang ditandingi oleh PAS dalam PRU 13 seharusnya dibiarkan untuk ditandingi oleh AMANAH dalam PRU 14.

Inilah jangkaan pemimpin AMANAH pun sehingga mendorong Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, mengumumkan, pada 9 Ogos lalu, bahawa Konvensyen AMANAH akan dilangsungkan di Kedah pada 15 hingga 17 September ini dengan misi tawan kembali Kedah sebagai agenda utamanya.

Begitupun, pada 15 Ogos lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, tiba-tiba dipetik sebagai berkata: “PKR mahu menakluk Kedah dan mengetuai kerajaan negeri seterusnya. Kami mahu bertanding sekurang-kurangnya 16 kerusi DUN. Saya akan bertanding di DUN Gurun. Dan iya, PKR merancang meletakkan saya untuk mengetuai kerajaan negeri sekiranya kami menang paling banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang”.

Pengumuman Datuk Johari Abdul ini sendiri agak mengejutkan kerana beliau bukanlah Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Kedah kerana pengumuman seperti ini, jika ada, sepatutnya dibuat oleh Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Kedah yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail, setelah keputusan rasmi mengenainya dibuat oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Negeri Kedah.

Pengumuman Datuk Johari Abdul ini adalah bertentangan dengan kandungan Perjanjian Pakatan Harapan yang berikut:

2.3 Sebarang perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau bantahan dari satu parti terhadap parti lain perlu disuarakan mengikut saluran dalaman Pakatan Harapan untuk diselesaikan secara bersama di dalam Pakatan Harapan.

5.5 Sebarang pengumuman muktamad mengenai parti yang bertanding di mana-mana kerusi di mana-mana peringkat hanya dibuat oleh Majlis Presiden dan setiap parti tidak boleh membuat pengumuman bertanding di sesuatu kerusi di mana-mana peringkat tanpa persetujuan Majlis Presiden.

6.7 Pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di peringkat negeri-negeri akan diketuai oleh seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dipilih mengikut kaedah seperti yang dihuraikan di dalam Fasal 1: Keputusan Bersama tertakluk kepada Fasal 6.4.

Lebih memburukkan keadaan ialah bila semalam, 18 Ogos, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, secara terbuka menuntut dua kerusi DUN yang ditandingi oleh PKR dalam PRU 13, iaitu N22 Gurun dan N35 Kulim. Lebih menarik lagi ialah N22 Gurun adalah kerusi DUN yang telah Datuk Johari Abdul umumkan akan beliau tandingi bagi membuka jalan untuk beliau menjadi Menteri Besar Kedah yang baru selepas PRU 14.

Diandaikan PKR berjaya mencapai hasratnya untuk bertanding di 16 kerusi DUN, dan DAP berjaya mencapai hasratnya untuk bertanding di 4 kerusi DUN, maka hanya 16 kerusi DUN lagi yang tinggal untuk ditandingi oleh AMANAH dan PPBM.

Dengan status Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai bekas Menteri Besar Kedah, apakah logik untuk diandaikan bahawa PPBM akan bersetuju 16 kerusi DUN ini diagihkan sama rata antara AMANAH dan PPBM (8 AMANAH dan 8 PPBM)?

Berpakat-pakatlah anda berebut kerusi ya, wahai Pakatan Harapan.

 



Comments
Loading...