Hadi: Saya hanya sambung perjuangan Nik Aziz
(FMT) – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan dasar kepimpinan beliau sambil menegaskan, ia merupakan kelangsungan perjuangan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia 2 tahun yang lalu.
Hadi yang dilihat lebih mesra dengan Umno kebelakangan ini berkata, perubahan yang dibuat hari ini adalah selepas perbincangan dengan Nik Aziz sebelum beliau meninggal dunia.
“Mereka yang keluar parti (membentuk parti serpihan) ini tidak tahu. Saya hanya menyambung warisan perjuangan Islam bersama bahtera PAS yang ditinggalkan oleh Almarhum.”
Beliau berkata demikian dalam wawancara disiarkan oleh Berita Harian hari ini.
Nik Aziz merupakan mursyidul am PAS dan menteri besar Kelantan sebelum meninggal dunia pada Februari 2015.
Hadi berkata demikian ketika ditanya kecaman banyak pihak tentang tindak-tanduk Hadi yang dilihat berbeza dengan kepemimpinan terdahulu termasuk Nik Aziz sehingga mewujudkan golongan tidak berpuas hati dalam parti yang akhirnya keluar dan membentuk parti serpihan.
Hadi juga ditanya sama ada politik diamalkan kepemimpinan beliau hari ini sesuai dengan kelangsungan PAS sebagai parti Islam di negara ini.
Justeru kata Hadi, PAS ada dasar Islam yang menjadi tonggak kepada perjuangannya walaupun pemimpin parti bersilih ganti dari zaman berzaman.
Katanya, mereka yang istiqamah akan kekal manakala yang khianat akan tercampak keluar dari parti.
“Almarhum Tuan Guru Nik Aziz meninggal dalam PAS dan istiqamah dengan dasar Islam yang dipegang.
“Mereka yang tidak ikut jejak Tuan Guru hakikatnya mengkhianati amanat Tuan Guru yang mengakhiri hidupnya dalam PAS.
“Perubahan yang kita buat hari ini adalah selepas perbincangan dengan Tuan Guru Nik Aziz sebelum beliau meninggal dunia,” katanya.
PAS berhadapan dengan krisis terburuk dalam lebih 3 dekad lalu apabila sebahagian besar pemimpin yang disifatkan sebagai berpendirian sederhana dan profesional keluar parti selepas pemilihan tahun 2015.
Mereka menubuhkan Amanah yang merupakan anggota komponen Pakatan Harapan.
Nik Aziz dilihat sebagai antara pemimpin paling keras membantah sebarang usaha untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno.
Beliau dilaporkan tidak akan sesekali membenarkan PAS bergabung dengan Umno sehingga tiada sesiapa dalam kalangan parti itu berani untuk menyuarakan pandangan itu.
Nik Aziz juga membantah keras idea kerajaan penyatuan (UG) membabitkan Umno dan PAS yang menjadi popular selepas pilihan raya umum 2008.
Ditanya sama ada rundingan sedang berjalan antara PAS dan Umno untuk menggarapkan ‘jalinan kerjasama’ untuk PRU14, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, memandangkan tarikh pilihan raya belum ditetapkan, tiada guna berbincang mengenai pilihan raya.
“Apa yang dibincangkan terkini adalah mengenai isu rakyat, di mana kita menyokong perkara yang positif dan kita terus bersikap tegas, menegur dan mengkritik secara membina dalam perkara yang negatif.”
Kata Hadi, hubungan PAS dengan Umno tidak lebih daripada bekerjasama dalam perkara kebaikan dan keutamaan rakyat.
Hadi juga berkata, PAS tidak akan masuk Umno, sebaliknya akan menyokong perkara baik dibuat parti dominan Barisan Nasional itu.
“Itu jelas. Dalam politik, kita tidak ulang strategi lama. Benda baik yang dibuat oleh Umno, kita sokong dan bagi kerjasama seperti RUU 355 dan isu penindasan etnik Rohingya.
“Tetapi benda salah yang dibuat oleh Umno, kita tentang dan tak bersetuju seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), cukai barang dan perkhidmatan (GST), Program Dwibahasa dan Akta Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian 1976.
Hadi seterusnya berkata, “kenapa apabila PAS bekerjasama dengan Umno atas dasar kerajaan dengan kerajaan dituduh PAS mahu bergabung dengan Umno?”
“Bagaimana pula dengan DAP yang bekerjasama dengan Umno untuk Jambatan Pulau Pinang?” katanya.