‘Mengapa orang Melayu perlu tolak pakatan pembangkang’
(BH) – Permuafakatan antara PAS dan UMNO adalah atas konsep ‘taawun’ iaitu penyatuan atau kerjasama dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Pendirian saya sama dengan pendirian PAS dan Majlis Syura Ulama. Bekerjasama atas konsep taawun dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan.
“Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 2: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama BH.
Abdul Hadi ditanya mengenai pendiriannya terhadap kemungkinan PAS dan UMNO mewujudkan kerjasama menjelang pilihan raya umum akan datang.
Mengenai dilema orang Melayu dan Islam yang dikatakan berada di persimpangan jalan sama ada memilih gabungan parti dominan Melayu Islam (UMNO dan PAS) atau gabungan parti pembangkang yang dikuasai dan dipandu DAP, menjelang PRU-14, beliau berkata berasaskan pelaksanaan Islam dan sejarahnya, adalah wajib ditegakkan pemerintahan dengan cara yang betul, bersama kepemimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu.
“Pada masa sama, wajib berlaku adil terhadap masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum, membabitkan mereka dalam urusan politik pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
“Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah dalam aspek pemerintahan dan ada perhitungan dosa dan pahala terhadap segala tindakan kerajaan, dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua.
“Maka sokonglah parti yang benar-benar serius mempertahankan Islam dengan segala halangan dan rintangan, moga-moga rakyat selamat dan sejahtera bersama Islam,” katanya.
Ikuti temubual penuh bersama Presiden PAS itu dalam BH Ahad hari ini.